Pemain NPNG Damansara Perdana, Lukhman Noor Hakim (tengah) cuba melepasi kawalan dua pemain MBPJ FC dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Selangor Champions League (SCL) 2022 di Arena Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 23 November. Foto Persatuan Bola Sepak Selangor
AGENDASUKANKINI

SCL: Misi empat pasukan ke perlawanan akhir

SHAH ALAM, 30 NOV: Empat pasukan menempah tempat ke separuh akhir selepas berjaya menewaskan lawan masing-masing di suku akhir Selangor Champions League (SCL) 2022 pada 28 dan 29 November.

Bandar Putera 2 terlebih dahulu mengesahkan kemaraan, menewaskan juara kumpulan A, NPNG Damansara Perdana 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan.

Lawan mereka di separuh akhir MBPJ FC, melakar kisah berbeza selepas bangkit pada penghujung permainan menewaskan Najmi SFFC Kota Damansara 2-1.

Ketinggalan 1-0 pada minit ke-45 menerusi jaringan Nabilah Khan, skuad kendalian Badrul Hisham tidak berputus asa, dan akhirnya Muhd Israff berjaya menyamakan kedudukan pada minit pertama masa tambahan.

Kesungguhan MBPJ FC pada lewat permainan membuahkan hasil apabila tonggak utama Adam Syafiq Fua-ad menjaringkan gol kemenangan pasukan bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir.

Sementara itu, Kelana United menepati ramalan ke peringkat seterusnya menewaskan Sijangkang City 1-0 hasil jaringan Hakim Zainal pada minit ke-34.

Satu lagi pasukan, MPKJ FC juga mara mengetepikan saingan Gamestop Alam Megah 3-1. Gol MPKJ FC dijaringkan MTerrence, Muhd Khairil Anwar (gol sendiri) dan Muhd Firdaus.


Pengarang :