Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Sungai Besar Saipolyazan Mat Yusop (kanan) menyerahkan risalah kempen kepada peniaga di pasar pagi Jumaat di Parit 13, Sungai Panjang pada 11 November 2022. Foto Facebook Saipolyazan M Yusop
AGENDANASIONAL

Sedia latihan bantu produk IKS Sungai Besar tembusi pasaran luar

SUNGAI BESAR, 12 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Sungai Besar berhasrat menyediakan program latihan kepada pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) untuk memajukan produk mereka.

Menurut Saipolyazan Mat Yusop, perkara tersebut dibincangkan bersama EXCO Pengguna dan Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni untuk membantu produk tempatan menembusi pasaran luar.

“Kita akan beri latihan supaya mereka dapat majukan produk ikut piawaian. Ia bagi memastikan produk Sungai Besar dipasarkan bukan sahaja dalam negara malah ke luar negara,” katanya.

Beliau yang ditemui di Parit 2, Sungai Panjang di sini semalam menambah produk IKS di kawasan itu menjadi pilihan pelancong yang turut menyumbang kepada ekonomi setempat.

Dalam kempennya, Saipolyazan turut berhasrat meningkatkan kemahiran belia dalam pelbagai bidang untuk memenuhi peluang pekerjaan termasuk perternakan dan pertanian moden.

Bekas ketua pegawai eksekutif Lembaga Zakat Selangor itu berdepan Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos (Barisan Nasional) dalam saingan empat penjuru pada pilihan raya kali ini.


Pengarang :