Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika melancarkan Duta Perpaduan Selangor dan Muzik Video Lagu #Kitakanselangor di Wyndham Acmar, Klang pada 30 Ogos 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Selangor beri cuti sehari sebelum mengundi, mudahkan pemilih balik kampung

OLEH NORZILAWATI SIDEK

SHAH ALAM, 9 NOV: Kerajaan Negeri bercadang memberi cuti sehari sebelum hari pembuangan undi pada 19 November bagi memudahkan pemilih di luar Selangor pulang ke kampung.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga berharap perdana menteri memberi pelepasan sama kepada seluruh rakyat supaya ramai dapat menunaikan tanggungjawab itu.

“Selangor mempunyai bilangan pengundi paling ramai di seluruh negara iaitu sebanyak 3.67 juta. Terdapat juga jumlah besar warga Malaysia yang bekerja dan bermastautin di sini tetapi mengundi di kampung halaman negeri lain,” katanya pada sidang media khas hari ini.

Beliau menjelaskan cuti itu terpakai untuk sektor kerajan dan swasta dengan satu warta akan dikeluarkan Rabu depan untuk pemakluman keputusan Kerajaan Negeri.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November sebagai hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) manakala undi awal pada 15 November.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan sedang mengkaji pelepasan sama pada 18 November bagi memudahkan pemilih pulang dan mengundi keesokannya.


Pengarang :