EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim menjawab soalan ketika Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 23 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Selangor lulus 689 projek perkilangan bernilai RM30.82 bilion setakat Jun

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Selangor meluluskan sebanyak 689 projek perkilangan dengan pelaburan bernilai RM30.82 bilion bagi tempoh 2020 hingga Jun tahun ini.

EXCO pelaburan memaklumkan sejumlah RM19.16 bilion membabitkan pelaburan tempatan manakala selebihnya pelaburan asing, dengan 39,287 potensi peluang pekerjaan diwujudkan.

Menurut Dato’ Teng Chang Khim, sektor tumpuan pelabur meliputi sains hayat, pembuatan makanan dan minuman, elektrik dan elektronik, kelengkapan pengangkutan serta mesin dan peralatan.

“Dua industri baharu turut dikenal pasti melonjakkan Selangor sebagai destinasi pelaburan iaitu perkhidmatan logistik serta pelaburan digital seperti perkhidmatan perniagaan global, pusat data dan teknologi kandungan kreatif,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong berhubung nilai pelaburan Selangor dan sektor yang menjadi fokus pelabur dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Dalam pada itu, Chang Khim berkata Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) sedang melaksanakan kajian bagi menilai semula sektor yang menjadi tumpuan sebelum ini.

“Ini termasuk meneroka sektor baharu yang berpotensi dan menjadi kekuatan Selangor untuk dipromosikan pada masa hadapan dalam usaha menarik pelaburan pelbagai sektor,” katanya.


Pengarang :