EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian menjawab soalan di Sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 29 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor perkenal dasar, pelan hadapi risiko bencana akibat perubahan iklim

SHAH ALAM, 29 NOV: Kerajaan Negeri memperkenalkan Dasar dan Pelan Tindakan Perubahan Iklim Selangor sebagai panduan kepada agensi terlibat mencapai pembangunan berdaya tahan.

EXCO alam sekitar berkata ia diluluskan pada 19 Oktober lalu selepas cadangan penubuhannya dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Dasar itu dibuat sebagai rangka kerja bagi menggerakkan dan memberi panduan kepada Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi negeri, industri, masyarakat setempat serta pihak berkepentingan lain dalam mencapai pembangunan yang berdaya tahan iklim.

“Pendekatan berperingkat dilaksanakan bagi menyelaras usaha adaptasi, mitigasi dan pengurusan risiko bencana merentasi pelbagai tempoh memandangkan hampir kesemua insiden bencana berlaku di negeri, bandar, daerah dan mukim adalah berkaitan dengan pengaruh iklim,” kata Hee Loy Sian.

Beliau menjawab pertanyaan lisan wakil rakyat Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berhubung pelan adaptasi dan mitigasi bagi menghadapi isu perubahan iklim di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Loy Sian berkata skop pembangunan dasar ini sudah dibincang dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor.

Menurutnya ia dianggotai oleh pakar-pakar berpengalaman dalam bidang pembangunan dasar, iklim, perancangan bandar dan perbandaran.

“Kerajaan Negeri menjangkakan pembangunan Dasar dan Pelan Perubahan Iklim Selangor akan menghasilkan komitmen dan polisi untuk menangani perubahan iklim,” katanya.


Pengarang :