Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media sempena Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Keempat Belas di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 24 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor ucap tahniah Anwar dilantik perdana menteri

SHAH ALAM, 24 NOV: Kerajaan Selangor mengucapkan tahniah kepada Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai perdana menteri ke-10 hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pentadbirannya juga bersedia membantu ahli parlimen Tambun itu menerajui negara terutama mendepani cabaran getir tahun depan.

“Kita sedia bantu siapa pun yang jadi perdana menteri dan sudah buktikan ketika penularan Covid-19 dan kejadian banjir tahun lepas.

“Hubungan rapat antara negeri dan persekutuan mudahkan kita mentadbir dan berbincang serta buat keputusan seimbang untuk kebaikan semua pihak,” katanya ditemui di lobi Dewan Annex hari ini.

Sementara itu, ditanya sama ada bakal menyertai Kabinet baharu, Amirudin yang juga ahli parlimen Gombak lebih cenderung meneruskan pentadbiran peringkat negeri.

“Saya rasa secara peribadi lebih berminat di Selangor kerana ada pelbagai perancangan antaranya Rancangan Selangor pertama yang perlu dilengkapkan.

“Namun begitu perbincangan boleh dilakukan. Dengan fungsi sebagai Ahli Dewan Negeri (Sungai Tua) dan Parlimen boleh berfungsi dengan lebih baik,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melantik Anwar sebagai perdana menteri dengan istiadat angkat sumpah berlangsung 5 petang ini di Istana Negara.


Pengarang :