AGENDANASIONAL

Semangat guru Kafa meningkat seiring kenaikan elaun

OLEH AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 27 NOV: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama Kampung Delek menyambut baik pengumuman pelarasan elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) kepada RM1,500 tahun depan.

Yang Dipertuanya, Hafiz Bahari berkata pengumuman yang dibuat dalam Belanjawan 2023 itu secara tidak langsung menaikkan semangat guru Kafa yang mengajar di sekolah itu.

“Meskipun mereka menjawat jawatan sebagai guru Kafa, komitmen yang telah diberikan dalam mendidik anak-anak ini tidak dapat dinafikan.

“Saya mengharapkan agar Kerajaan Negeri terus konsisten memperkasakan peranan guru Kafa pada masa akan datang dan saya menzahirkan ucapan terima kasih atas kecaknaan Kerajaan Negeri ini,” katanya.

 

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama Kampung Delek Hafiz Bahari

Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lepas mengumumkan elaun bulanan 2,825 guru Kafa di Selangor diseragamkan kepada RM1,500 mulai tahun depan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, peningkatan itu melibatkan dana RM4.8 juta bagi menghargai peranan mereka yang membentuk pelajar ke arah kehidupan seimbang dunia dan akhirat.

 


Pengarang :