Hujan lebat berterusan sejak awal pagi pada 16 Oktober 2022 menyebabkan ombak besar dan beberapa kawasan, jalan raya serta kediaman di enam kampung di lima mukim di Langkawi terjejas akibat banjir kilat. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Semenanjung antara rantau ASEAN diramal alami cuaca lebih lembap

JAKARTA, 1 NOV: Beberapa bahagian benua maritim timur mungkin menghadapi keadaan lebih lembap minggu ini berikutan corak cuaca La Niña, menurut Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC).

Menurut pusat itu keadaan lebih kering berkemungkinan berlaku di sebahagian besar tanah besar di kawasan tengah dan timur manakala cuaca lebih sejuk melanda kawasan tengah dan tenggara.

“Untuk penilaian serantau terdapat peningkatan kecil keadaan itu berlaku di Semenanjung Malaysia,” menurut ASMC dalam kemas kini mingguannya.

ASMC juga meramalkan peluang sederhana di Sulawesi, Nusa Tenggara dan Kepulauan Maluku untuk menerima hujan sangat lebat dan peningkatan sederhana untuk keadaan panas melampau di Filipina.

Sepanjang minggu lalu, 43 bencana terdiri dua gempa bumi, 28 banjir, lapan tanah runtuh, satu ribut dan empat berkaitan angin telah menjejaskan rantau itu terutama Indonesia, Malaysia dan Filipina.

Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia melaporkan banjir, tanah runtuh dan kejadian berkaitan angin disebabkan hujan sederhana hingga lebat, air pasang, angin kencang, keadaan tanah yang tidak stabil, limpahan air sungai dan saluran pengairan.

Kawasan yang terjejas iaitu Aceh, Bali, Banten, Bengkulu, Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur, Kalimantan Selatan, Lampung, Nusa Tenggara Timur, Sulawesi Barat, Sulawesi Tengah dan Sulawesi Utara.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) melaporkan bahawa banjir berlaku di Kedah dan Melaka.

Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) Filipina melaporkan banjir, tanah runtuh, ribut dan angin yang disebabkan Siklon Tropika Nalgae serta gempa bumi berukuran 6.4 pada skala Richter di Abra.

-BERNAMA


Pengarang :