Norsila Zulkamal, 50, sedih melihat banyak kelengkapan rumahnya rosak selepas dilanda banjir di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, pada 20 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Setahun menanti, penduduk Sungai Serai belum dapat bantuan bah kerajaan pusat

HULU LANGAT, 11 NOV: Hampir setahun menanti, penduduk Kampung Sungai Serai di sini masih belum menerima bantuan banjir yang dijanjikan kerajaan persekutuan.

Ketua Kampungnya Zainuddin Muhamad Tasar berkata kejadian banjir besar pada 18 Disember tahun lalu menjejaskan lebih 80 peratus penduduk di kawasan berkenaan.

“Kejadian berlaku hampir setahun lalu tapi kami kesal kerana sehingga kini bantuan bencana banjir RM5,000 yang dijanjikan masih belum diterima. Awalnya mereka kata masalah borang, kami cuba isi semula.

“Beberapa kali juga saya dan penduduk lain cuba ‘follow up’ tapi sampai sekarang masih tak terima jawapan, sekarang boleh kata hampir 400 penduduk yang masih menanti bantuan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bertemu calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Hulu Langat Mohd Sany Hamzan bersama beberapa penduduk kampung di sini, hari ini.

Zainuddin berkata bagaimanapun pihaknya bersyukur berikutan Bantuan Selangor Bangkit RM1,000 dari Kerajaan Negeri sudah diterima penduduk dan selesai pada awal tahun ini.

“Saya amat berharap supaya YB (Mohd Sany) dapat membantu menyelesaikan masalah ini,” katanya lagi.

Sementara Noor Azam Mohamad juga penduduk Kampung Sungai Serai sedih kerana sudah banyak wang dibelanja untuk membaiki rumahnya yang rosak akibat banjir besar setinggi lima kaki.

“Memanglah kalau ada yang kata RM5,000 apa sangat, tapi pada kami jumlah berkenaan banyak. Boleh tampung beli barang rumah yang rosak. Sekarang sudah setahun berlalu.

“Saya harap kalau YB Mohd Sany menang parlimen di sini, tolonglah bantu kami selesaikan masalah ini. Sekarang pula musim hujan, ikutkan takut juga kalau banjir sekali lagi, tapi apa boleh buat, redha sahaja,” katanya.

Pada 31 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan membaik pulih kediaman mangsa bah menerusi Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Antara insentif ditawarkan termasuklah bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan tidak serius.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan Bantuan Selangor Bangkit kepada penduduk terkesan banjir di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Serai, Hulu Langat pada 29 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

 


Pengarang :