AGENDANASIONAL

Simpanan persaraan beri perlindungan kewangan, jamin masa depan suri rumah

Oleh DIANA ABD WAHAB

KLANG, 29 NOV: Caruman berjumlah RM1.6 juta sumbangan Kerajaan Negeri menerusi skim i-Suri Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2023 disambut baik golongan wanita.

Nur Amelia Aini Arshad, 40, berkata insentif itu memberi banyak kelebihan kepada suri rumah dan jaminan masa depan golongan berkenaan kerana diberikan dalam bentuk caruman KWSP.

“Peruntukan ini beri peluang kepada suri rumah nikmati perlindungan khususnya dari segi kewangan yang berkualiti seperti diterima ahli KWSP lain.

Nur Amelia Aini Arshad

“Ini dapat pastikan nasib mereka terbela kerana mempunyai simpanan persaraan agar dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan sejahtera apabila meniti usia tua kelak,” katanya yang bekerja sendiri.

Pekerja swasta Athirah Azali, 31, berkata kemudahan itu bukti Kerajaan Negeri tidak meminggir dan melupakan peranan golongan Hawa yang menjadi tulang belakang pembinaan masyarakat dan negara mapan.

“Insentif ini memberi motivasi dan semangat kepada suri rumah yang banyak berkorban masa dan tenaga menguruskan rumah tangga sepanjang suami keluar bekerja mencari rezeki.

“Tanpa mereka, sudah pasti pincang institusi kekeluargaan di negara ini,” katanya.

Athirah Azali

Suri rumah, Nor Masliza Hashim, 37, berkata insentif itu menggalakkan golongan wanita menabung sebagai persediaan menghadapi kecemasan atau ditimpa musibah seperti perceraian, kematian atau suami hilang upaya.

“Sekurang-kurangnya dengan adanya i-Suri, ia akan membantu meringankan beban suri rumah apabila berdepan situasi luar jangka. Pasti sukar besarkan anak sendirian dengan tiada punca pendapatan,” katanya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari Jumaat lalu mengumumkan seramai 26,913 wanita yang berdaftar bawah senarai e-Kasih akan menerima caruman membabitkan anggaran dana berjumlah RM1.6 juta melalui skim i-Suri KWSP.


Pengarang :