Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan bertemu pengundi sekitar Subang pada 9 November 2022. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sivarasa aktif bantu calon di Sungai Buloh, yakinkan pengundi sokong HARAPAN

PETALING, 9 NOV: R Sivarasa terus mempergiat usaha membantu Pakatan Harapan (HARAPAN) berkempen dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) meski tidak lagi mempertahan kerusi Sungai Buloh.

Calon gabungan itu Datuk R Ramanan menjelaskan usaha ikhlas Sivarasa membantunya sejak hari pertama kempen meyakinkan penduduk untuk terus mengundi gabungan tersebut.

Beliau memaklumkan kempennya turut dibantu Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras Mohd Khairuddin Othman dan ADN Kota Damansara Shatiri Mansor demi memastikan kemenangannya.

“Tanggungjawab cemerlang digalas wakil rakyat terdahulu di Parlimen Sungai Buloh menjadi bonus kepada HARAPAN kerana penduduk setempat merasai pembangunan ketara.

“HARAPAN akan meneruskan kesinambungan ini pada masa depan terutama menjaga kebajikan semua golongan di Parlimen ini. Kepada penduduk, fikirkan masa depan semua,” katanya.

Ramanan berdepan pencabar terkuat bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin (Barisan Nasional) dalam persaingan tujuh penjuru pada pilihan raya 19 November.

Sebelum ini, Sivarasa menggesa isu beliau tidak dicalonkan semula tidak berpanjangan demi memastikan kemenangan HARAPAN ke Putrajaya.

Calon HARAPAN Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan mendengar luahan penduduk ketika berkempen sekitar Subang pada 9 November 2022. Foto NORRASYIDAH ARSHAD/SELANGORKINI

Pengarang :