Atlet kebangsaan Aifa Azman (kanan) beraksi menentang atlet kebangsaan Noor Ainaa Amani Ampandi pada Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia 2022 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 23 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Skuasy: Tiga pemain negara ke suku akhir Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR, 24 NOV: Tiga pemain skuasy negara mara ke suku akhir kejohanan skuasy Terbuka Malaysia 2022, hari ini.

Pemain perseorangan lelaki Muhammad Addeen Idrakie Bahtiar yang berada di ranking ke-83 terus melakar kejutan apabila menundukkan pemain ke-16 dunia Raphael Kandra dari Jerman pada pusingan kedua semalam.

Muhammad Addeen bangkit dari ketinggalan selepas tewas set pertama 4-11, sebelum menewaskan juara empat kali itu 11-7, 13-11, 9-11, 11-8 dalam pertarungan 66 minit di Pusat Skuasy Nasional di sini.

Satu-satunya wakil negara dalam kategori lelaki, tugasan berat menanti pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu apabila dijadual berdepan pilihan utama kejohanan Tarek Momen dari Mesir. Pemain ketujuh dunia itu menewaskan rakan sepasukan Yahya Elnawasany 6-11, 11-3, 11-3, 11-6, 11-1.

Muhammad Addeen berkata kejayaan dicapainya kerana percaya yang dirinya mampu beraksi dan cukup cergas untuk bermain satu lagi perlawanan panjang, selepas menyingkirkan pemain ketiga dunia Omar Mosaad dari Mesir, kelmarin.

“Saya bukan ‘giant killer’ tapi saya bermain tanpa tekanan tambahan saya bukan pemain pilihan. Berbanding mereka, tentunya tekanan lebih tinggi sebab pemain pilihan dan saya pula bermain di gelanggang sendiri. Saya mendapat sokongan padu dan ia membantu saya bermain lebih baik.

“Saya harap dapat teruskan lagi prestasi terbaik. Ini adalah pencapaian tertinggi saya, kali pertama layak ke suku akhir kejohanan bernilai US$50,000 dan pertama kali juga berada dalam kelompok 20 pemain terbaik dunia,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, dalam saingan perseorangan wanita, Aifa Azman juga akan berdepan ujian getir dalam mempertahankan kejuaraannya, menempah pertemuan dengan pemain di ranking ke-14, Nele Gilis dari Belgium, hari ini.

Pemain berusia 20 tahun yang mendapat ‘bye’ pada pusingan pertama, memulakan kempen dengan langkah kanan apabila menyingkirkan rakan senegara yang juga pemain sedang meningkat Ainaa Amani Ampandi pada saingan pusingan kedua semalam.

“Saya pernah lihat dia bermain, dia cergas dan mempunyai larian yang baik selain corak permainannya lebih pantas. Jadi, jika dia bermain pantas, saya mungkin ada kelebihan sebab sudah biasa. Saya akan berikan 100 peratus dan menang perlawanan ini,” katanya pemain berusia 21 tahun itu.

Turut mengiringi Aifa, juara 2019 Rachel Arnold, yang berjaya bangkit dari ketinggalan sebelum mengecewakan lawannya dari England, Grace Gear 10-12, 12-10, 11-7, 11-9.

Rachel yang akan berdepan pilihan keempat Nadine Shahin dari Mesir, berharap mampu menggunakan kesempatan daripada ketiadaan beberapa pilihan utama untuk mara ke separuh akhir.

Nasib berbeza buat pemain perseorangan lelaki utama negara Ng Eain Yow apabila terlepas peluang meraih gelaran kedua selepas edisi 2019 selepas tewas kepada pemain di ranking ke-11 dunia Joel Makin.

Eain Yow yang ketinggalan 6-11, bangkit untuk menang 11-6, 11-8 sebelum pemain dari Wales itu kembali menguasai perlawanan dengan kemenangan 11-9, 11-5.

“Saya rasa sudah bermain dengan baik hari ini (semalam) tapi sangat mengecewakan apabila tewas di pusingan kedua. Saya sudah lakukan yang terbaik namun ia masih belum mencukupi. Dia (Makin) bermain agresif, langsung tidak beri saya peluang,” katanya.

Keputusan perlawanan lain:

Perseorangan lelaki
—————————–
Mazen Hesham (EGY) mn Faraz Khan (USA) 11-1, 11-5, 11-6
Miguel Rodriguez (COL) mn Shahjahan Khan (USA) 11-9, 11-13, 8-11, 11-4, 11-9
Patrick Rooney (ENG) mn Mohamed ElSherbini (EGY) 7-11, 15-17, 11-9, 11-4, 11-8
Nicolas Mueller (SUI) mn Moustafa El Sirty (EGY) 8-11, 11-3, 11-8, 7-11, 11-7
Marwan ElShorbagy (EGY) mn Ramit Tandon (IND) 6-11, 11-6, 11-6, 11-7

Perseorangan wanita
——————————
Nele Gilis (BEL) mn Fayrouz Aboelkheir (EGY) 11-4, 11-8, 11-6
Tesni Evans (WAL) mn Ineta Mackevica (LAT) 11-6, 11-4, 11-5
Melissa Alves (FRA) mn Chan Yiwen (MAS) 12-10, 11-4, 11-5
Nadine Shahin (EGY) mn Nour Aboulmakarim (EGY) 11-6, 11-3, 11-13, 10-12, 11-7
Olivia Fiechter (USA) mn Julianne Courtice (ENG) 11-3, 11-4, 11-3
Yathreb Adel (EGY) mn Alexandra Fuller (RSA) 11-7, 6-11, 11-9, 11-9

– BERNAMA


Pengarang :