Antara pengundi yang hadir awal untuk menunaikan tanggungjawab mengundi bagi Dewan Undangan Negeri Larkin pada Pilihan Raya Negeri Johor di Pusat Mengundi Sekolah Kebangsaan 1 Larkin, Johor Bahru pada 12 Mac 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

SPR: Penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi tidak dibenarkan

KUALA LUMPUR, 15 NOV: Penggunaan telefon bimbit di tempat mengundi (saluran) adalah tidak dibenarkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi kenyataan di sini malam tadi memaklumkan pengundi yang membawa telefon bimbit perlu meletakkan gajet itu di tempat yang disediakan setelah menerima kertas undi dan mengambilnya semula selepas selesai mengundi.

“Pelaksanaan tatacara pengundian baharu ini boleh dirujuk menerusi poster ‘Tatacara 10 Langkah Pengundian’ yang menjelaskan proses pengundian sepenuhnya dan maklumat lanjut juga telah dimuat naik di laman Facebook, Instagram dan Twitter SPR,” menurut kenyataan itu.

Sebagai peringatan, notis dan poster larangan penggunaan telefon bimbit akan diletak di luar dan di dalam tempat mengundi.

SPR turut mengingatkan tanggungjawab orang yang dibenarkan hadir dalam urusan berkaitan pilihan raya untuk memelihara kerahsiaan maklumat pengundian sebagaimana termaktub di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“SPR menyeru semua pengundi untuk mematuhi langkah-langkah pengundian yang telah ditetapkan ketika berada di tempat mengundi (saluran),” katanya.

SPR menetapkan 19 November sebagai hari mengundi bagi PRU15 manakala pengundian awal berlangsung hari ini.

– BERNAMA


Pengarang :