Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melambai dari kenderaan yang dipandu oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Lapangan Terbang Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, pada 28 November 2022. Anwar menerima keberangkatan Sultan Hassanal Bolkiah, julung kali selepas beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada 24 November. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Sultan Brunei pandu sendiri kereta diiringi Anwar ke Seri Perdana

SUBANG, 28 NOV: Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah berkenan memandu sendiri kereta dengan membawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Seri Perdana, Putrajaya sempena lawatan khas baginda ke Malaysia, hari ini.

Sebelum kedua-dua pemimpin itu memulakan perjalanan pada kira-kira 11.45 pagi, Anwar yang duduk bersebelahan Sultan Hassanal Bolkiah, sempat melambaikan tangan ke arah pengamal media.

Turut berkenan menaiki kereta jenis BMW tersebut adalah anakanda Sultan Brunei Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah.

Perjalanan kedua-dua pemimpin itu ke Putrajaya dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, di sini yang jaraknya kira-kira 41 kilometer, diiringi pasukan keselamatan bermotosikal dan berkereta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut keberangkatan tiba Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Pengkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia Subang, pada 28 November 2022. Turut berangkat Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah. Foto BERNAMA

Terdahulu, Anwar menyambut keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah serta delegasi Brunei yang selamat mendarat di Pangkalan TUDM pada 11.40 pagi.

Sejurus tiba, baginda diberikan tabik hormat oleh perbarisan daripada Tentera Darat Malaysia yang diketuai Mejar Mohd Faudzi Che Hashim. Turut hadir menyambut keberangkatan tiba baginda ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Keberangkatan baginda ke Malaysia bagi mengadakan pertemuan sulung dengan Anwar yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 November lepas.

Perdana Menteri juga akan turut meraikan Sultan Hassanal Bolkiah serta Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan delegasi Brunei dalam satu majlis santapan tengah hari ini.

Menurut Wisma Putra dalam kenyataan, lawatan terakhir baginda ke Kuala Lumpur adalah pada 4 hingga 6 Mac 2019 untuk menghadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-22 antara Malaysia dan Brunei.

Malaysia dan Brunei mempunyai hubungan istimewa yang telah lama terjalin melalui persamaan warisan, budaya dan hubungan sesama rakyat.

Bertitik tolak daripada hubungan istimewa ini, kedua-dua pemimpin akan mengambil peluang semasa lawatan itu untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada, di samping meneroka potensi baharu bagi meningkatkan hubungan dan kerjasama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Pada 2021, Brunei ialah rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan bernilai RM8.03 bilion (US$1.94 bilion). – BERNAMA

 


Pengarang :