Penduduk, Raja Sahrin Tengku Ismail, 56, meranduk air banjir untuk melihat kawasan sekitar rumahnya yang dinaiki air akibat limpahan air Sungai Muar di Kampung Seberang Batu Badak, Segamat, Johor pada 3 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Sungai Muar melimpah, penternak randuk bah selamatkan 13 lembu

SEGAMAT, 3 NOV: Tindakan pantas seorang penternak berjaya menyelamatkan 13 lembu peliharaannya daripada ditenggelami banjir ketika air Sungai Muar melimpah dan naik dengan cepat di Kampung Seberang Batu Badak di sini, semalam.

Menceritakan detik cemas itu kepada Bernama, Raja Sahrin Tengku Ismail, 56, berkata dia yang dibantu isteri dan lima anaknya terpaksa menambat ternakan tersebut di jambatan kampung itu yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya, sekitar 2 petang semalam.

“Tahun ini sahaja sudah dua kali rumah dinaiki air, sebelum ini pada Januari lepas. Kali ini, hujan tidak ada tetapi tiba-tiba air melimpah dengan cepat hingga paras paha, nasib baik sempat tambat lembu di jambatan.

“Ternakan ayam dalam 20 hingga 30 ekor tidak sempat diselamatkan, tapi saya tidak bimbang sangat sebab ayam biasanya cukup masa akan pulang sendiri ke rumah, lembu susah sikit sebab dibimbangi akan mati bila air tinggi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati kawasan sekitar rumah yang didiami penternak itu sejak lebih 50 tahun itu, dinaiki air hingga paras paha, bagaimanapun jalan raya di hadapan rumahnya tidak dinaiki air.

Raja Sahrin berkata buat masa ini hanya dia sahaja yang tinggal di rumah itu kerana isteri serta lima anak, dua menantu dan seorang cucunya kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Kampung Batu Badak.

Semalam, limpahan air Sungai Muar menyebabkan beberapa rumah dinaiki air dan 36 mangsa dipindahkan ke dua PPS di Balai Raya Kampung Batu Badak serta Balai Raya Kampung Kuala Paya.

Kawasan yang terjejas di daerah itu adalah Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Batu 5 dan Kampung Kuala Paya.

Sementara itu, suri rumah Dalila Rizqiqa Rosli, 29, terkejut melihatkan air sungai melimpah hingga ke kawasan laman rumahnya kira-kira 3 petang semalam.

“Syukur air tidak masuk ke dalam rumah, jika tidak saya tidak tahu nak gambarkan macam mana kerana saya ada tiga anak yang masih kecil termasuk berusia empat bulan selain lima ekor kucing yang perlu diselamatkan.

“Saya trauma, cukuplah dengan pengalaman menghadapi banjir pada Januari lepas apabila air naik hingga ke paras bumbung, penat yang dulu pun tidak hilang lagi dan semoga kejadian sama tidak berulang,” katanya. – BERNAMA


Pengarang :