Calon Parlimen Bangi Syahredzan Johan berucap ketika Majlis Pelancaran Bilik Gerakan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Bandar Baru Bangi, Kajang pada 3 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Syahredzan mahu suarakan hak rakyat, lawan undang-undang menindas

Oleh Azian Aziz

BANGI, 3 Nov: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Bangi berazam menjadi pemimpin yang menyuarakan hak rakyat serta berjuang menghapuskan undang-undang yang menindas.

Syahredzan Johan, 39, berkata pengalaman sebagai pengamal undang-undang memberi peluang kepadanya mempertahankan individu yang ditangkap secara tidak adil dan tidak diberikan akses untuk diwakili peguam.

“Kenapa saya masuk politik, kerana pengalaman saya sebagai peguam menyedarkan saya di Malaysia ini undang-undang sepatutnya melindungi rakyat tetapi ada yang menindas rakyat.

“Saya juga mendapat kesedaran iaitu untuk benar-benar mengubah Malaysia, kita kena ubah orang yang ada kuasa untuk gubal undang-undang.

“Kalau tidak kita akan ada kes yang sama. Jadi sebab itu saya masuk politik sebab nak berjuang jadikan Malaysia lebih baik,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Bilik Gerakan HARAPAN Bangi di sini, hari ini.

Syahredzan yang juga Pengerusi Biro Media Sosial DAP berharap masyarakat mengambil tahu mengenai politik dan siapa calon yang bakal dipilih.

“Saya dah jumpa pelbagai lapisan pengundi dan kini menumpukan kepada pengundi berusia 18 hingga 21 tahun serta yang baru mendaftar.

“Saya berjanji untuk memperjuangkan isu pengangkutan awam di Bangi yang merupakan kawasan bandar selain menyuarakan isu kerahsiaan data peribadi,” ujarnya sambil memberitahu jumlah pengundi di Bangi telah bertambah lebih 300,000 daripada kira-kira 179,000.

Beliau yakin penerimaan pengundi di Bangi adalah baik dan memberangsangkan kerana sejak Jun beliau telah menjadi wakil kepada penyandang kerusi Parlimen Dr Ong Kian Ming.

Syahredzan dipilih menjadi calon HARAPAN Parlimen Bangi menggantikan Kian Ming, penyandang kerusi itu selama dua penggal yang mengumumkan tidak bertanding pada PRU15.

Beliau dijangka berdepan saingan calon Hoh Hee Lee dari BN,  Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir (PAS), Annuar Salleh (GTA) dan Suthan M (Bebas).

Beliau yang berasal dari Selangor merupakan mantan Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan dan Jawatankuasa Peguam Muda di Majlis Peguam serta lulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Cardiff University, United Kingdom.

 


Pengarang :