Projek infra yang sedang disiapkan di tapak perumahan terbengkalai pembesaran Kampung Koskan Bandar Serendah, Hulu Selangor pada 23 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tabung RM7 juta pulih projek terbengkalai, bantu pembeli miliki rumah

SHAH ALAM, 26 NOV: Tabung Pemulihan Projek Terbengkalai (TEPAT) yang berbaki RM6.98 juta akan digunakan tahun depan bagi membantu memulihkan projek terbengkalai.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tabung itu membantu pembeli memiliki rumah idaman yang terbengkalai atau prasarana terbiar selain mengurangkan jumlah projek sedemikian di Selangor.

“Sehingga kini, dua projek melibatkan 274 unit sedang dipulihkan melalui tabung ini untuk kerja pembaikan kemudahan prasarana luaran projek pembesaran kampung,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2023 semalam.

Beliau menjelaskan pemilihan itu melibatkan Taman Desa Mawar, Kuala Selangor berjumlah RM6.36 juta dan Kampung Koskan, Hulu Selangor (RM4.65 juta) yang dijangka selesai pada suku pertama tahun depan.

Jelas Amirudin, Kerajaan Negeri menyasarkan anggaran baki dana TEPAT digunakan bagi pemulihan prasarana dan keperluan lain berkaitan projek terbengkalai yang dikenal pasti pihak berkuasa tempatan.

Beliau juga menambah dana RM2 juta disediakan untuk memulihkan projek terbengkalai dalam pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) iaitu:

– Menyiapkan prasarana sistem pembentungan dan kerja memperoleh kelulusan pelan bangunan serta perakuan siap dan pematuhan (CCC) bagi projek Taman Nustalgia, Seksyen 32 Shah Alam

– Kerja penurapan Jalan, kerja loji Indah Water Konsortium, kerja baik pulih bangunan bagi projek Taman Andaman 5, Seksyen 30 Shah Alam.


Pengarang :