Penduduk mendengar ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari sempena lawatan pemimpin negeri itu ke Parlimen Kuala Selangor di Dewan Orang Ramai, Kampung Bukit Kuching Tengah, Kuala Selangor pada 14 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tawaran HARAPAN mampu dipenuhi jika tadbir negara satu penggal

KUALA SELANGOR, 15 NOV: Pakatan Harapan (HARAPAN) diyakini mampu memenuhi tawaran manifesto pilihan raya umum ke-15 (PRU15) jika diberi mandat menerajui Putrajaya.

Calon gabungan itu di Kuala Selangor berkata keyakinan bersandarkan prestasi HARAPAN yang melaksanakan 60 peratus daripada manifesto dalam tempoh 22 bulan mentadbir negara.

“Manifesto adalah diusul, dirancang untuk jangka waktu 60 bulan dan kita hanya dapat mentadbir (22 bulan). Ramai kawan-kawan menteri lain gigih menyusun atur dan mula melaksanakan (manifesto).

“Dalam 22 bulan sebenarnya kami melaksanakan sekitar 60 peratus daripada janji manifesto. Bayangkan jika diberi 60 bulan, saya yakin akan melepasi 100 peratus janji,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berucap pada majlis makan tengah hari di Dewan Orang Ramai, Kampung Bukit Kuching Tengah, Kuala Selangor pada 14 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Bercakap di Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Kuching Tengah di sini semalam, bekas menteri kesihatan itu berkata pencapaiannya pada 2018 diteruskan bawah pentadbiran Barisan Nasional.

“Saya sendiri dalam (tempoh) 22 bulan memulakan inisiatif kesihatan yang hari ini dilangsungkan oleh menteri kesihatan daripada BN seumpamanya Peka B40.

“Beliau (dipercayai merujuk Khairy Jamaluddin) tidak rasa bersalah untuk meneruskan program dan dasar HARAPAN yang dianggap sangat baik,” kata Dr Dzulkefly.


Pengarang :