Kapten Terengganu FC (TFC) Tchetche Kipre (kiri) diasak pemain Selangor FC Shahrul Nazeem Zulpakar pada aksi Separuh Akhir Kedua Piala Malaysia 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus pada 21 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Terengganu FC mohon maaf insiden kekacauan terhadap Selangor

KUALA TERENGGANU, 22 NOV: Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) mengecam sekeras-kerasnya tindakan penyokong yang melakukan kekacauan dan kekerasan ke atas pasukan Selangor FC selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) tengah malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ab Rasid Jusoh berkata tindakan tersebut disifatkan sebagai tidak bertamadun dan tidak menggambarkan keperibadian keseluruhan penyokong skuad Penyu yang telah menunjukkan disiplin baik sepanjang perlawanan musim ini.

Sehubungan itu pihaknya mengemukakan permohonan maaf kepada seluruh pihak pengurusan dan pemain Selangor yang terkesan dengan insiden buruk berkenaan.

“Berkenaan insiden kekacauan yang dilakukan terhadap penyokong Terengganu FC (TFC) ke atas bas pasukan pelawat semalam, kami ingin melafazkan rasa kesal yang mendalam dan mengecam tindakan yang dilakukan.

“Perkara ini bukan sahaja mencalar nama kelab tetapi memberi imej buruk kepada negeri Terengganu yang kita cintai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ab Rasid, pihaknya akan mengambil pengajaran daripada insiden tersebut supaya tidak berulang pada masa akan datang.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam tadi, sekumpulan penonton dipercayai penyokong TFC bertindak liar dengan melempar batu ke arah bas yang membawa barisan kejurulatihan dan pemain Selangor FC keluar dari SSMZA selepas tamat perlawanan.

Tindakan tersebut menyebabkan cermin bas pecah dan batu yang menembusi cermin hampir terkena pegawai Selangor FC.

Difahamkan di dalam bas tersebut turut terdapat anak-anak kecil pemain Selangor yang menumpang untuk pulang bermalam di hotel.

– BERNAMA


Pengarang :