Deretan bendera pelbagai parti yang bertanding bagi Parlimen Gombak menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) menghiasi Jalan Gombak Lama ketika tinjauan pada 9 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Teruja mengundi kali pertama, anak muda sepakat tolak calon terpalit rasuah

GOMBAK, 16 NOV: Pengundi kali pertama dalam kalangan anak muda tidak sabar menanti 19 November untuk menunaikan tanggungjawab memilih kerajaan baharu yang lebih baik.

Pengundi Parlimen Gombak, Adam Brandon Carlos, 22, enggan mensia-siakan peluang memilih pemimpin yang telus selain bebas rasuah pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Menyifatkan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) kucar-kacir, beliau berpandangan rakyat perlu memberi semula ruang kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk memerintah.

Adam Brandon Carlos

“Sejujurnya saya tidak sabar untuk keluar mengundi kerana inilah waktunya anak muda main peranan memilih pemimpin yang betul. Paling penting tidak terpalit dengan unsur rasuah.

“Saya (juga) yakin HARAPAN mampu melunaskan janji yang tidak sempat dibuat selepas memenangi pilihan raya lalu,” katanya ditemui Selangorkini hari ini.

Sementara itu, pengundi Parlimen Selayang Muhammad Shahfiq Muhammad Saiful, 21, mengakui keliru memilih bakal pemimpin di kawasannya kerana kurang mengenali calon yang bertanding.

Bagaimanapun, dia berpendirian untuk menolak parti atau gabungan yang terbabit dengan kes penyelewengan kerana dibimbangi mencemarkan imej negara.

“Perasaan saya bercampur-baur, teruja tetapi pada masa sama takut. Mahu atau tidak, saya tetap harus menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Saya amat menanti tarikh itu untuk melihat kerajaan mana menjadi pilihan rakyat. Cuma saya minta bakal pemimpin nanti galas amanah dengan baik,” katanya, yang berharap isu pengangguran diberi perhatian.

L Kogila

L Kogila, 21, turut gembira dan teruja untuk mengundi buat kali pertama dengan menjadikan ibu bapanya sebagai rujukan bagi memilih wakil rakyat Gombak.

“Kalau boleh saya mahu pemimpin yang adil, telus dan prihatin kebajikan rakyat tanpa mengira usia serta kaum. Saya juga mahu nasib anak muda yang masih menganggur dan mempunyai pendapatan rendah diberi perhatian,” katanya.

Kira-kira 21 juta warganegara berusia 18 tahun ke atas berhak menunaikan tanggungjawab memilih sebuah kerajaan untuk memerintah negara, Sabtu ini.

Kerusi Parlimen Gombak disandang bekas Menteri Kanan Antarabangsa dan Industri Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selama tiga penggal sejak 2008 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Bagaimanapun, beliau yang didakwa antara watak utama dalam Langkah Sheraton mengalih sokongan hingga mengakibatkan kerajaan HARAPAN di Putrajaya tumbang pada Februari 2020.

Pada PRU kali ini, beliau dicabar calon HARAPAN Dato’ Seri Amirudin Shari dalam saingan lima penjuru.


Pengarang :