Lembaga Tabung Haji (TH) menganjurkan kursus perdana haji peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Jun 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

TH anjur kursus asas haji bersemuka bermula 25 November

KUALA LUMPUR, 8 NOV: Kursus Asas Haji 1444H akan bermula pada 25 November ini secara bersemuka di 218 masjid terpilih seluruh negara, menurut Lembaga Tabung Haji (TH).

TH menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya juga merancang menganjurkan Kursus Intensif Haji pada Februari depan dan seterusnya Kursus Perdana Haji pada Syawal sebelum bakal haji berangkat ke Tanah Suci.

Kursus Asas Haji 1443H/2022 sebelum ini menggunakan platform Youtube Live kerana penularan Covid-19.

Sementara itu, sebagai persediaan bagi musim haji 1444H, TH telah mengadakan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) kali ke-39 bermula semalam sehingga esok di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA, Sepang.

“Bertemakan ‘Akidah Sejahtera Asas Kemabruran Haji’, MHPK yang dirasmikan Pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar hari ini bertujuan membincangkan isu berkaitan bimbingan serta hukum-hakam ibadat haji yang timbul semasa musim haji 1443H,” menurut kenyataan itu.

Muzakarah tersebut juga bertujuan mencari penyelesaian terbaik berkaitan ibadat haji, umrah dan ziarah selain memberi peluang kepada para Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (PEKTA) dan ilmuan agama seluruh negara berkumpul serta berkongsi ilmu dan pengalaman menetapkan keseragaman hukum-hakam.

Penganjuran MHPK juga diharap dapat meningkatkan keberkesanan bimbingan ibadat haji kepada bakal-bakal haji termasuk menambah baik modul kursus haji serta penerbitan yang dihasilkan demi kepentingan umat Islam Malaysia semasa melaksanakan ibadat di tanah suci.

“Semua resolusi daripada muzakarah itu diharap benar-benar difahami oleh para PEKTA dan seterusnya disampaikan kepada semua bakal haji dengan semasa kursus-kursus haji di tanah air,” menurut TH.

Selain itu, ia juga dapat menyelaraskan kefahaman bersama ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji bagi persediaan untuk penyampaian lebih berkesan kepada bakal-bakal haji dan umat Islam mengenai konsep serta pengertian istito’ah secara mudah dan berterusan.

Tahun ini, hanya 14,306 jemaah haji dibenarkan mengerjakan haji berbanding kuota penuh iaitu seramai 31,600 orang.

– BERNAMA


Pengarang :