Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 165.8 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) di Maran pada 12 November 2022. Foto Bomba Pahang
AGENDAJENAYAH

Tiga beradik maut, seorang parah nahas di Lebuhraya Pantai Timur

KUANTAN, 12 NOV: Tiga beradik maut manakala seorang lagi cedera apabila kenderaan dinaiki mereka dipercayai terbabas di Kilometer 165.8 Lebuhraya Pantai Timur Fasa Satu (LPT1) arah barat di Maran hari ini.

Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman berkata mereka yang maut ialah pemandu kereta, Siti Fatimah Yusry, 20, abangnya Ahmad Basyir, 27, dan Saiedah, 15, manakala seorang lagi adik mereka Adawiyah, 11, parah di kepala dan dirawat di zon merah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di Temerloh.

“Kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 7 pagi tadi selepas kereta dinaiki mangsa hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norzamri berkata mereka yang beralamat di Kulai, Johor dalam perjalanan pulang ke rumah di negeri itu selepas menjemput Adawiyah yang belajar di pusat tahfiz di Jerantut.

Beliau berkata siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada 8.10 pagi dan setibanya di lokasi, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Kancil.

“Dua daripada mangsa yang maut tersepit dalam kenderaan itu, jenazah mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan difahamkan dibawa ke Hospital Jengka, Maran untuk bedah siasat,” katanya menerusi kenyataan.

-BERNAMA


Pengarang :