Calon Pakatan HARAPAN (HARAPAN) Parlimen Shah Alam, Azli Yusof (kanan) bersalaman bersama pencabarnya, calon Perikatan Nasional, Dr Afif Bahardin (kiri) selepas meninjau proses mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Selangor pada 15 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tiga calon Parlimen Shah Alam tinjau proses undi awal di IPK Selangor

SHAH ALAM, 15 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Parlimen Shah Alam melawat pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Seksyen 9 di sini.

Azli Yusof yang mewakili HARAPAN, Isham Jalil (BN) dan Dr Afif Bahardin (PN) dilihat bertegur sapa dan bersalaman selepas meninjau proses undi awal kira-kira jam 9 pagi tadi.

Azli ketika ditemui berharap semua anggota dapat menunaikan tanggungjawab mereka sekali gus membantu menyumbang kemenangan kepada HARAPAN.

“Alhamdulillah proses pengundian dilihat berjalan lancar, ada empat saluran peti undi dan saya difahamkan pusat mengundi ini ditutup jam 5 petang.

“Harap lebih ramai keluar dan semoga ada sokongan untuk HARAPAN di sini sekali gus menyumbang kemenangan kepada saya di P108,” katanya.

Hari ini, kira-kira hampir 2,000 anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) hadir melaksanakan tanggungjawab mengundi awal di IPK Selangor, Seksyen 9 di sini.

Semalam, Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 224,828 pengundi awal menjadi kumpulan pertama mengundi pada proses pengundian.

Datuk Ikmalrudin Ishak berkata jumlah itu terdiri daripada 117,473 anggota tentera dan pasangan serta 107,355 anggota polis dan pasangan PGA.

Menurutnya, sebanyak 578 Pusat Mengundi Awal dibuka bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.


Pengarang :