Datuk Seri Najib Razak keluar dari kompleks mahkamah diiringi kenderaan polis selepas dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan penyelewengan RM42 juta milik dana SRC International Sdn Bhd pada 23 Ogos 2022. Foto BERNAMA.
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tinjauan: Pengundi tidak setuju Najib diampun, rasa jenayah bekas PM terlalu besar

Amin Ridzuan Ishak dan Zareef Muzammil

GOMBAK, 12 NOV: Beberapa pengundi menyifatkan kesalahan penyelewengan dana RM42 juta oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terlalu besar untuk diberi pengampunan.

Noor Din Mohd Ashari, 60. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Pesara swasta Noor Din Mohd Ashari, 60, berkata pihak yang mahu mendesak Najib dibebaskan daripada hukuman penjara harus berpijak di bumi nyata kerana kesalahan dilakukan sukar dimaafkan.

“Kalau dibebaskan (diberi pengampunan) sekali pun masanya (kerjaya politik) sudah habis kerana ramai rakyat tidak percaya dengannya.

“Saya tidak pasti orang lain tetapi saya memang sudah tidak percaya dengannya lagi,” katanya ketika ditemui Selangorkini di sekitar Gombak baru-baru ini.

Rusilawatie Othman, 56. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Ruslilawatie Othman, 56, turut senada dan berpendapat nilai penyelewangan dalam kes SRC International terlalu besar yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan negara serta membela kebajikan rakyat.

“Bayangkan apa kita boleh buat dengan duit sebanyak itu (dana kerajaan disalah guna), negara kita ada undang-undang yang harus dihormati,” katanya yang bekerja sendiri itu.

Alias Omar, 60. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pesara swasta Alias Omar, 60,  pula berkata keputusan mahkamah yang menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara terhadap Najib harus dihormati dan tiada campur tangan politik.

“Kenapa kita hendak mencabul undang-undang demi kepentingan orang sebegitu, ikutlah undang-undang negara,” katanya.

Peniaga Muhd Ezani Hussin, 44, pula mempersoalkan keistimewaan Najib sehingga ada pihak mencadangkan beliau dibebaskan sedangkan kesalahan dilakukan amat besar berbanding orang lain.

Muhd Ezani Hussin, 44. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

Najib menjalani hukuman penjara 12 tahun mulai 23 Ogos lalu selepas gagal mengetepikan sabitan dan hukuman kesalahan penyelewengan dana RM42 juta SRC International.

Bekas perdana menteri itu juga sedang dibicarakan kes penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya.

Kira-kira seminggu selepas hukuman, Umno Perak dilaporkan mahu memulakan kutipan tandatangan petisyen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mendapatkan pengampunan kepada Najib.

Pada 4 September, langkah itu diikuti Umno bahagian Pekan, kawasan parlimen Najib, yang melancarkan petisyen sama dengan sasaran mengumpul 100,000 tandatangan.

Pada hari yang sama, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan Najib telah mengemukakan permohonan pengampunan diraja pada 2 September, dalam tempoh 14 hari selepas disabitkan.


Pengarang :