Anggota bomba membantu memindahkan seorang warga emas susulan banjir kilat di Kampung Budiman, Puncak Alam pada 10 November 2022. Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor
AGENDANASIONAL

Tujuh negeri termasuk Selangor masih terjejas banjir, libatkan 3,107 mangsa

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Situasi banjir di seluruh negara secara umumnya menunjukkan trend penurunan dengan lima PPS ditutup, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Dalam kenyataan hari ini, agensi itu memaklumkan lima PPS berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan Melayu Raya, Pontian, Johor; Japerun Kesidang di Melaka Tengah, Melaka dan di Perak melibatkan Dewan Serba Guna Kampung Padang Tembak di Hilir Perak, Dewan Orang Ramai Sungai Baru di daerah Larut, Matang dan Selama serta Sekolah Kebangsaan Simpang Tiga Parit, Perak Tengah.

Menurut Nadma tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka, Johor, Kelantan dan Sabah yang melibatkan 13 daerah masih terjejas akibat banjir, sehingga 12 tengah hari tadi.

“Seramai 3,107 mangsa daripada 969 ketua isi rumah (KIR) direkodkan sedang berlindung di 26 pusat pemindahan sementara (PPS),” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 3 petang tadi mengeluarkan ramalan cuaca signifikan dengan penumpuan angin dijangka berlaku di kawasan pantai Kelantan dan Terengganu serta utara dan tengah Sarawak, bermula esok hingga Sabtu ini yang berpotensi meningkatkan kelembapan di kawasan berkenaan.

“Keadaan ini berpotensi menghasilkan kejadian ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang terutamanya pada sebelah petang hingga malam,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan empat sungai mencatatkan bacaan aras air pada paras bahaya setakat pukul 4 petang tadi iaitu Sungai Long Jegan, Sungai Long Teru dan Sungai Marudi di Sarawak serta Sungai Melaka di Batu Hampar, Melaka Tengah.

Selain itu, terdapat empat sungai mencatatkan bacaan aras air pada tahap amaran iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Kota Setar, Kedah; Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat dan Parit Keliling di Kampung Pasir, Johor Bahru, Johor dan Sungai Rantau Panjang di Pasir Mas, Kelantan.

Selain itu, JPS turut mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Banjir Kilat, 3 petang tadi.

“Berdasarkan maklumat ramalan hujan oleh MetMalaysia, sistem Southeastern Asia-Oceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS) dan model ramalan banjir JPS Malaysia, terdapat risiko kejadian banjir kilat di beberapa lokasi sekiranya hujan lebat atau ribut petir yang signifikan berlaku di beberapa daerah di Pahang, Terengganu, Johor dan Sabah,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Kerja Raya (JKR) pula melaporkan terdapat lima lokasi terkesan banjir, enam lokasi cerun runtuh, satu lokasi jalan runtuh, satu lokasi kejadian jalan mendap dan dua lokasi kejadian jambatan rosak sehingga 2 petang tadi.

Menurut jabatan itu kesemua 16 kejadian itu melibatkan lapan lokasi dengan dua di Kelantan dan Negeri Sembilan serta masing-masing satu di Perak, Terengganu, Johor dan Pahang.

Orang awam diminta merujuk maklumat terkini daripada sumber yang sahih menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook PubliclnfoBanjir dan twitter @JPS InfoBanjir.

-BERNAMA


Pengarang :