Graduan Universiti Putra Malaysia (UPM) ceria pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-46 di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM, Serdang pada 29 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONALSELANGOR

UPM tawar program pertanian pintar, lahir graduan mampu kendali teknologi

SERDANG, 29 NOV: Universiti Putra Malaysia (UPM) menawarkan program Ijazah Teknologi Pertanian Pintar pada semester 2022/2023 bagi melahirkan graduan mahir kendalikan teknologi.

Naib Canselor Datuk Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman berkata pengambilan bermula Oktober lalu juga seiring dengan matlamat institusi yang mahu menjuarai agenda pertanian berteknologi tinggi.

“Pertanian kekal menjadi bidang utama universiti. Program ini dijangka melahirkan teknologis pertanian berpengetahuan dan kompeten untuk mengendali teknologi pertanian pintar serta lestari.

“Seterusnya dapat membangun dan mengurus pengeluar pertanian berasaskan sistem pertanian pintar,” katanya berucap di hari ke empat Istiadat Konvokesyen UPM ke-46 hari ini.

Mohd Roslan berharap graduan universiti itu memainkan peranan membantu negara kembali pulih kesan daripada penularan pandemik Covid-19 demi mensejahterakan kehidupan rakyat.

“Negara memerlukan golongan muda berdaya tahan serta memiliki jati diri yang kental supaya dapat mengharung segala cabaran mendatang.

“Oleh itu graduan perlu menpunyai nilai amanah, tanggungjawab, kejujuran dan integriti tinggi bagi memacu kegemilangan negara,” katanya.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang merupakan Pro Canselor turut berkenan mengurniakan sijil kepada 836 graduan sempena istiadat hari ini.


Pengarang :