Pengasas Syukor Burger, Syukor Majid berkongsi kisah kejayaannya ketika Sesi dialog kumuniti usahawan Gombak di My Dulang Cafe, Gombak pada 17 November 2022.Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
SELANGOR

Usahawan Hijrah diseru manfaat TikTok promosi perniagaan

GOMBAK, 18 NOV: Usahawan terkenal Syukor Majid yang pernah mencipta fenomena menjual sejuta burger Ogos tahun lalu menyeru usahawan memanfaatkan TikTok bagi mempromosi produk berbanding platform media sosial lain.

Pemilik jenama Syukor Burger berusia 34 tahun berkata peniaga boleh memperkenal produk dalam siaran langsung atau memuat naik video di aplikasi itu dengan mudah dan pantas secara percuma.

“TikTok sangat berkesan buat masa ini kerana ia mesra pengguna dan mudah viralkan produk. Jika kandungan dimuat naik menarik dan keluar di halaman anda (for your page atau fyp) sudah tentu ramai orang berminat untuk tahu produk anda.

“Insya-Allah jika strategi pemasaran anda bagus melalui platform itu, perniagaan anda akan stabil seterusnya memberi keuntungan lumayan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada kira-kira 100 usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) sekitar Gombak pada sesi dialog di sebuah restoran dekat sini semalam.

Komuniti usahawan mendengar ucapan Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari ketika Sesi dialog kumuniti usahawan Gombak di My Dulang Cafe, Gombak pada 17 November 2022.Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Syukor turut berkongsi pengalaman menggunakan medium tersebut yang banyak membantu perniagaan burgernya hingga mampu membuka lebih 600 cawangan gerai seluruh negara.

“Pada awalnya saya guna akaun persendirian iaitu Syukor Majid. Dalam tempoh enam bulan, jumlah pengikut TikTok mencecah 28,000 malah video-video saya kerap muncul di fyp.

“Sejujurnya ketika itu saya buat akaun bukan saja-saja tetapi dengan niat untuk viralkan produk saya. Alhamdulillah, video dimuat naik mencecah 3.8 juta tontonan dan ia sangat membantu,” katanya yang kini mampu meraih untung antara RM30,000 hingga RM40,000 sehari.

Anak kelahiran Pulau Pinang itu turut menasihati peniaga menonton video TikTok daripada usahawan popular lain bagi mempelajari teknik mencipta kandungan yang betul.

“Mungkin sekarang anda rasa agak susah tetapi apabila anda tahu sejauh mana impaknya, insya-Allah perniagaan anda akan maju,” katanya lagi.


Pengarang :