Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Shah Alam Azli Yusof (kiri, tiga) bertemu pendaki yang menyertai program Rimba Komuniti di Setia Alam, Shah Alam pada 10 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Usia bukan penentu tarik undi muda, rakyat cari pemimpin terbaik

SHAH ALAM, 10 NOV: Faktor usia calon bertanding bukan penentu penerimaan pengundi muda pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Shah Alam berkata rakyat mahukan seorang pemimpin yang mampu berkhidmat kepada semua golongan bukannya untuk kelompok tertentu sahaja.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Shah Alam Azli Yusof. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Azli Yusof yang berusia 55 tahun memaklumkan pengalaman menetap di bandar raya ini sejak 1985 memberi kelebihan kepadanya untuk memahami keperluan masyarakat setempat.

“Perkara terpenting adalah kita akan terus berusaha kempen seperti biasa. Saya tekad mahu memperjuangkan nasib penduduk Shah Alam termasuk terus mendekati orang muda. Pengundi mencari wakil rakyat terbaik.

“Setakat lima hari berkempen penerimaan masyarakat kepada saya dilihat baik dan mereka rata-ratanya senang dengan saya,” katanya ketika ditemui selepas program ziarah kasih di Pangsapuri Seksyen 19 di sini, hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan berhubung penerimaan pengundi muda memandangkan bersaing dengan tiga calon lain yang lebih muda.

Azli yang juga graduan Pengurusan Kejuruteraan dari University of Missouri-Rolla, Amerika Syarikat (AS) diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon nombor satu dalam kertas undi berdepan tiga lagi pencabar.

Beliau dicabar Dr Afif Bahardin (Perikatan Nasional), Isham Jalil (Barisan Nasional) dan Rafique Rashid (Pejuang) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Shah Alam Azli Yusof menziarahi keluarga mangsa kemalangan jalan raya di Pangsapuri PKNS Seksyen 19, Shah Alam pada 10 November 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :