Petugas kesihatan memberi suntikan vaksin pneumokokal kepada warga emas ketika program Vaksinasi Selcare di Keramat Permai, Gombak pada 13 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Vaksin percuma bukti Selangor peduli kesihatan rakyat

Oleh Azian Aziz

GOMBAK, 13 Nov : Pemberian vaksin percuma pneumokokal dan influenza yang disasarkan kepada 5,000 warga emas serta golongan berisiko dijangkiti penyakit bukti keprihatinan Selangor dengan kesihatan rakyat.

Pesara tentera, Yusoff Din, 70, berkata inisiatif tersebut menunjukkan Kerajaan Negeri tidak pernah melupakan kebajikan warga tua yang sememangnya mudah dijangkiti pelbagai penyakit.

Yusoff Din. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya dan isteri ambil suntikan vaksin ini untuk ketahanan badan lagi pun saya menghidap kencing manis. Pengambilan vaksin ini memang elok untuk golongan seperti kami,’’ katanya ketika ditemui dalam Program Vaksinasi Selcare di Surau Al–Hidayah, Taman Keramat Permai di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahya Almuddin Zainal Adnan, 65, memberitahu, pemberian vaksin percuma amat bermanfaat kepada golongan pesara dan tidak mempunyai sumber pendapatan.

“Saya pun ambil peluang dapatkan vaksin sebab percuma. Kalau pergi ke klinik untuk dapat dua suntikan (pneumokokal dan influenza) agak mahal.

Ahya Almuddin Zainal Adnan. HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Saya harap suntikan percuma ini dapat diperluaskan kepada seluruh rakyat Selangor yang tidak berkemampuan,” kata pesara swasta itu.

Ahmad Fodoli Mat Som, 65, pula berkata sebagai pesakit kanser suntikan vaksin itu amat bermanfaat untuk kesihatannya.

“Kerajaan negeri memang memahami kesusahan rakyat seperti saya bekas pemandu lori. Buat macam-macam antaranya jualan murah kemudian beri suntikan vaksin percuma. Saya berharap Kerajaan Negeri seperti ini yang kekal memerintah,” katanya.

Ahmad Fodoli Mat Som. HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pada 10 November, Dato’ Menteri Besar mengumumkan dana RM1.5 juta dalam menyediakan 10,000 dos vaksin percuma (5,000 dos vaksin pneumokokal, 5000 dos vaksin influenza) bagi memastikan kesihatan penduduk berisiko tinggi terpelihara.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata fasa pertama program yang bermula hari ini sehingga 31 Disember ini menyasarkan seramai 5,000 individu terdiri warga emas, 60 tahun ke bawah dan golongan berisiko dijangkiti penyakit.

Ketika negara dilanda Covid-19, Selangor turut melaksanakan program Vaksin Selangor (Selvax) bagi mempercepatkan imunisasi rakyat diikuti program dos penggalak di bawah Selvax Booster.

Kerajaan Negeri turut memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang memanfaatkan hampir 40,000 penduduk khasnya yang ada sejarah perubatan keluarga, obesiti dan gaya hidup tidak sihat.

 


Pengarang :