Usahawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau lebih dikenali sebagai Datuk Seri Vida ditemu bual media di kedai emasnya pada 21 Mei 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Vida mengaku tidak salah muat naik hantaran sumbang di YouTube

SHAH ALAM, 8 NOV: Seorang usahawan kosmetik terkenal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini atas pertuduhan memuat naik komunikasi sumbang di media sosial, Mei lalu.

Datuk Seri Hasmiza Othman atau dikenali sebagai Datuk Seri Vida membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman, lapor Berita Harian.

Tertuduh, 51, yang minta dibicarakan didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) susulan memuat naik video muzik Muah Muah Raya di YouTube DSV Entertainment.

Video berkenaan yang didakwa bersifat sumbang dengan niat menyakitkan hati orang lain dilihat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di Cyberjaya, 5 Mei lalu.

Vida selaku Orang Kena Saman (OKS) boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara kurang setahun atau kedua-duanya dan denda lanjut RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Tertuduh bebas dengan jaminan RM5,000 oleh seorang penjamin dan hakim menetapkan 7 Disember sebagai tarikh sebutan untuk serahan dokumen.


Pengarang :