Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2023 dalam sidang Dewan Negeri Selangor pada 25 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wakil rakyat pembangkang puas hati belanjawan 2023 terus bela rakyat

SHAH ALAM, 26 NOV: Wakil rakyat pembangkang menyifatkan Belanjawan Selangor 2023 yang dibentang Dato’ Menteri Besar semalam terus membela nasib rakyat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa Dr Daroyah Alwi berkata Selangor merupakan satu-satunya negeri yang membantu rakyat keseluruhan aspek termasuk untuk wanita, anak istimewa, pendidikan dan pascabanjir.

ADN Sementa, Dr Daroyah Alwi 

“Belanjawan dibentang semalam merangkumi semua dan saya berpuas hati kerana ia melibatkan semua rakyat Selangor. Menjadi tradisi Kerajaan Selangor meneruskan bantuan-bantuan untuk rakyatnya.

“Bagaimanapun, ada beberapa perkara yang harus disegerakan oleh agensi terlibat seperti kerja-kerja pengukuhan ban terutama di Sungai Serdang yang sentiasa pecah jika air pasang besar.

“Saya sentiasa bawa isu ban pecah dan perlu ada kajian supaya dapat diperbaiki dengan lebih kukuh. Kerja-kerja penambahbaikan perlu segera dilakukan dan jika perlu minta dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

ADN Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin

Sementara itu, ADN Sungai Panjang Dato’ Mohd Imran Tamrin turut mengakui ada beberapa perkara dalam Belanjawan 2023 itu ditambah baik susulan libat urus pelbagai pihak yang membantu dalam penyediaannya.

Jelasnya, antara yang akan membantu rakyat ialah pemberian Jom Shopping daripada RM100 kepada RM200 dan penambahan elaun ketua kampung tradisi, ketua kampung baru/bagan serta ketua komuniti India.

“Saya pernah bawa isu ini iaitu bukan mengatakan RM100 tidak cukup tetapi boleh ditambah dan jumlahnya biarlah setimpal. Saya juga berharap dengan penambahan elaun ketua komuniti itu akan meningkatkan prestasi perkhidmatan kepada rakyat.

“Selain itu, pengumuman menaik taraf kawasan Sabak Bernam membantu dalam jayakan agenda Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (Sabda) kerana infrastruktur yang baik dapat menarik pelabur selain tingkat ekonomi setempat,” katanya.

Beliau turut berharap agenda dalam belanjawan kali ini dapat dilaksana dengan penuh bertanggungjawab sekaligus kerjasama menerusi kerajaan perpaduan dapat membawa Selangor lebih stabil dan makmur.

Semalam, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan 2023 memaklumkan Kerajaan Selangor memperuntuk RM2.45 bilion sebagai persediaan mendepani kelembapan ekonomi tahun depan.


Pengarang :