SHAH ALAM, 30 NOV: Wakil rakyat Bukit Melawati mengucapkan tahniah buat Kerajaan Selangor kerana menjadi negeri pertama memperkenal program pemberian tuala wanita percuma.
Juwairiya Zulkifli berkata isu kemiskinan haid bukan satu perkara baharu namun disebabkan rasa malu dan stigma masyarakat yang menganggap ia pantang larang maka jarang dibincangkan.
Menurutnya, kemiskinan haid adalah situasi apabila individu menghadapi kesukaran mendapatkan tuala wanita akibat kekangan kewangan atau ketiadaan bekalan air bersih serta tempat pelupusan sesuai.
“Antara golongan berisiko menghadapi situasi seperti ini adalah wanita di luar bandar, miskin bandar dan miskin tegar. Manakala bagi pelajar perempuan pula ketiadaan tuala wanita boleh membatas pergerakan dan aktiviti di sekolah.
“Masalah ini sekali gus mengganggu pembelajaran dan akhirnya pelajar memilih untuk tidak hadir ke sekolah dan ini merupakan salah satu faktor berlakunya keciciran pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Belanjawan 2023 di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.
Juwairiya berkata, beberapa negara luar turut melaksanakan program tersebut antaranya Korea Selatan yang menawarkan tuala wanita percuma sejak 2018 di seluruh tempat awam diikuti Scotland pada 2020.
“Manakala, New Zealand juga memperkenal akses percuma produk pembersihan kepada 3,200 pelajar perempuan di 15 sekolah dan Perancis memperuntuk 1 juta Euro memberi tuala wanita di sekolah.
“Saya berharap program ini dapat diteruskan pada tahun mendatang dengan peruntukan lebih besar bagi menangani kemiskinan haid di Selangor,” katanya.
Menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2023 Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sejumlah RM200,000 bagi memberdaya kaum wanita termasuk kempen kesedaran serta penyediaan tuala wanita secara percuma.