Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 23 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Wakil rakyat sokong usul enakmen antilompat parti, elak mandat dikhianati

SHAH ALAM, 24 NOV: Beberapa wakil rakyat kerajaan menyokong usul pelaksanaan enakmen antilompat parti bagi mengelak pengkhianatan berulang sekali gus menghormati mandat rakyat.

Wong Siew Kii (HARAPAN-Balakong) berkata pindaan enakmen itu sepatutnya dilaksana lebih awal demi menjamin kestabilan politik negeri dan negara.

“Suara rakyat perlu sentiasa kita hormati dan peduli. Kalau setiap pilihan raya suara mereka dapat didengar dan dinilai dengan jumlah undi, maka kita sebagai pembuat dasar negeri bertanggungjawab memastikan tiada wakil rakyat mengkhianati mandat sewenang-wenangnya dalam tempoh perkhidmatan mereka.

“Hanya satu perkara saya prihatin dalam pindaan ini iaitu mereka yang dipecat daripada keanggotaan parti politik tidak akan terhenti menjadi Ahli Dewan Negeri (ADN) kerana mereka tidak tertakluk kepada Rang Undang-Undang (RUU) ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul RUU Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor (Pindaan) 2022 dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini semalam.

Dalam pada itu, Siew Kii turut menyokong saranan Ean Yong Hian Wah (HARAPAN-Seri Kembangan) untuk mewujudkan satu undang-undang mencontohi Akta Penggal Tetap dari United Kingdom supaya tiada parti atau pihak boleh mengadakan pilihan raya sesuka hati.

“Pada masa sama, Selangor juga sepatutnya menjadi contoh kepada seluruh Malaysia termasuk kerajaan persekutuan dengan mewujudkan dan melaksanakan undang-undang ini.

“Biarlah Selangor menunjukkan bagaimana konsep keadilan, kesaksamaan dan kestabilan politik dipraktis dalam satu negeri kepada seluruh negara,” katanya.

Lau Weng San (HARAPAN-Banting) berkata jika ADN dipilih ke Dewan Negeri melepaskan keanggotaan atau terhenti menjadi ahli politik, maka kerusinya perlu dikosongkan sebaik suatu tarikh dipastikan speaker mengikut Fasal (3) Perkara baru 65A.

“Selepas itu ADN berkenaan dibenarkan bertanding semula dalam pilihan raya pada bila-bila masa selepas beliau melepaskan keahliannya dalam DNS.

“Dengan demikian kehilangan kelayakan untuk menjadi ADN bagi tempoh lima tahun lagi tidak terpakai,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membawa usul pelaksanaan enakmen antilompat parti selari akta dikuatkuasakan di Parlimen bagi menguatkan lagi sistem demokrasi dan memastikan pentadbiran negeri stabil.

Bermula Oktober, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti dikuatkuasakan selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos.


Pengarang :