Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai menteri besar pada 27 November 2022. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Wan Rosdy kekal MB, gabungan BN-HARAPAN bentuk kerajaan Pahang

KUANTAN, 27 NOV: Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, telah memperkenankan pembentukan Kerajaan Negeri Pahang daripada Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata baginda juga berkenan, untuk melantik Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang merupakan Pengerusi BN negeri sebagai Menteri Besar.

Lantikan itu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah yang dinyatakan dalam Bahagian II, Perkara 3 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang.

“Majlis pengurniaan surat cara lantikan dan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar akan diadakan pada 11 pagi Isnin, 28 Nov di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di Pekan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Khirrizal juga menyatakan Tengku Hassanal telah berkenan menerima menghadap dan mendengar cadangan, usul serta hasrat kepimpinan parti-parti politik yang terlibat, susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sebelum membuat keputusan tersebut.

Pelantikan Menteri Besar itu mengakhiri kemelut politik yang berlaku di Pahang, yang menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang tergantung buat kali pertama, selepas tiada parti politik yang memperoleh majoriti mudah iaitu 22 kerusi pada pilihan raya umum itu.

Pada PRU15, BN memperoleh 16 kerusi DUN, kurang satu berbanding Perikatan Nasional (PN), manakala PH mendapat lapan kerusi. Secara keseluruhan terdapat 42 kerusi di DUN Pahang.

Pengundian bagi DUN Tioman telah ditangguhkan dan akan berlangsung pada 7 Dis ini, susulan kematian calon PN Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian PRU15 19 Nov lepas, dipercayai akibat serangan jantung.

Keputusan DUN Tioman bagaimanapun tidak memberi kesan kerana tiada parti akan memperoleh majoriti mudah daripada keputusan tersebut.

— BERNAMA

 


Pengarang :