Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan watikah pelantikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif MBI Norita Mohd Sidek di pejabat Dato’ Menteri Besar, Shah Alam pada 5 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wanita dihargai bawah pentadbiran Selangor, Azmin ditempelak sokong Sanusi

Oleh FAIZAL NAZARUDDIN

SHAH ALAM, 14 NOV: Ramai wanita berkaliber diberi tempat dalam pentadbiran negeri termasuk menerajui anak-anak syarikat Kerajaan Negeri sejak Dato’ Seri Amirudin Shari dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar pada 2018.

Menurut kenyataan Sekretariat Kempen Amirudin Shari hari ini, dua jawatan pegawai daerah termasuk Gombak turut disandang golongan wanita selain dua lagi sebagai yang dipertua pihak berkuasa tempatan.

“Beberapa ketua jabatan dalam kalangan penjawat awam Selangor merupakan wanita yang bekerja dengan penuh dedikasi serta ‘beyond the call of duty’ terutama waktu kemuncak pandemik Covid-19 serta bencana banjir tahun lalu.

“Prestasi jabatan-jabatan serta anak-anak syarikat Kerajaan Negeri langsung tidak terjejas malah bertambah baik sejak tahun 2018,” kata kenyataan itu lagi.

Justeru, sektetariat itu mengecam Pengarah Pilihan raya Perikatan Nasional Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kerana mempertahan Menteri Besar Kedah yang menyebut kononnya wanita tidak layak menjadi ahli parlimen di luar bandar.

Pada 11 November, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menamakan Sik di Kedah sebagai kawasan yang tidak sesuai ditandingi calon wanita. Namun, beliau menjelaskan konteks ucapannya itu tertakluk di kawasan itu sahaja.

Kenyataan sama juga menyifatkan sokongan penyandang kerusi Gombak itu terhadap Muhamad Sanusi sebagai memperlekeh dan memperkecil maruah wanita.

“Jika inilah pendirian Perikatan Nasional terhadap wanita, kemungkinan besar nasib dan peranan wanita dalam membentuk masa depan negara kita akan dipinggirkan,” kata kenyataan itu lagi.

Amirudin mencabar Azmin bagi kerusi Gombak selain berdepan saingan Datuk Megat Zulkarnain Omardin dari Barisan Nasional, Datuk Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir (Pejuang) dan calon Bebas Zulkifli Ahmad.


Pengarang :