Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama pengundi ketika Program MIni Karnival Wanita di Taman Selasih, Gombak pada 13 November 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Wanita Gombak teruja ditawar latihan kemahiran, bantu jana pendapatan

OLEH AZIAN AZIZ

GOMBAK, 15 NOV: Golongan wanita di Parlimen Gombak menyambut baik tawaran Dato’ Seri Amirudin Shari untuk menyediakan latihan kemahiran pelbagai bidang bagi membantu mereka menambah pendapatan.

Pekerja kedai kek Putri Nur Rabiyatul Adawiyah Shujairi, 24, yakin inisiatif calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Gombak itu mampu dijayakan berdasarkan kemampuan beliau selaku Dato’ Menteri Besar.

Putri Nur Rabiyatul Adawiyah Shujairi

“Program latihan kemahiran ditawarkan Amirudin memang bagus sebab dapat tambah jumlah peniaga wanita yang bermula dari rumah.

“Ia juga boleh bantu orang muda dan berusia mencari pendapatan sendiri sebab susah cari kerja sekarang,” katanya ketika ditemui dalam program Mini Karnival Wanita di Dewan JKP5, Taman Selasih di sini.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ibu Tunggal dan Warga Emas Salmah Abd Rasit, 65, pula mengalu-alukan tawaran berkenaan kerana ia selari dengan rancangan pertubuhannya.

“Sebagai Dato’ Menteri Besar, beliau melakukan pelbagai program yang membantu rakyat, jadi kita akan pastikan kemenangan berpihak kepadanya supaya perancangan itu dapat diteruskan,” katanya.

Noor Ashikin Dahari

Peniaga nasi lemak Noor Ashikin Dahari, 54, pula menyifatkan program tersebut membantu wanita yang mahu menambah ekonomi keluarga.

“Jika program ini dapat diteruskan, mana-mana wanita yang mahir boleh ke depan. Dengan ini, kita mahu Amirudin jadi ahli parlimen Gombak supaya ia dapat dijayakan,” tambahnya.

Pada 10 November, Amirudin membentang perancangan lima tahun bagi memajukan Gombak antaranya memberdaya wanita melalui latihan kemahiran dan membantu rakyat memiliki rumah mampu milik.

Turut ditawarkan dalam Deklarasi Gombak Bermaruah termasuk menarik pelabur asing bagi menawarkan peluang pekerjaan kepada belia dengan gaji tinggi dan memajukan bidang kesihatan serta pendidikan.


Pengarang :