Penduduk membersihkan rumah selepas banjir kilat ketika tinjauan Selangorkini di Taman Setia Warisan, Kampung Melayu Subang, Shah Alam pada 11 November 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Warga emas pasrah air masuk rumah, trauma bah Disember belum hilang

SHAH ALAM, 11 NOV: Seorang warga emas hanya mampu melihat air banjir melimpah ke dalam rumahnya petang semalam tanpa mampu berbuat apa-apa ekoran keadaan diri yang tidak sihat.

Mek Yah Dollah, 74, yang berkerusi roda berkata dirinya bersendirian di rumah ketika kejadian dan hanya berdoa supaya hujan berhenti kerana risau terperangkap dalam bah.

“Masa itu sekitar 4.30 petang. Anak semua bekerja. Saya reda saja masa air dah mula masuk sebab memang tak boleh buat apa-apa.

“Risau kalau hujan berterusan kerana tak mahu kejadian banjir hujung tahun lepas berulang. Saya seorang diri dekat rumah, tak tahu nak minta tolong siapa,” katanya ketika tinjauan Selangorkini dilokasi banjir kilat di sini hari ini.

Bagaimanapun dia bersyukur kerana hujan tidak lama dan air yang naik hampir 0.5 meter kembali surut kira-kira jam 6.30 petang.

Sementara itu jirannya Hazarina Ahmad, 40, berkata banjir kilat kira-kira dua jam itu menyebabkan beberapa perabut miliknya rosak.

“Semalam saya ada di rumah tetapi sibuk bekerja. Jiran-jiran maklumkan dalam kumpulan WhatsApp air dah mula naik tetapi tak sempat nak angkat perabut.

“Tak sangka banjir jadi lagi sebab kerja dalamkan sungai sudah dijalankan lepas kejadian Disember tahun lalu. Mungkin pembangunan pesat menyebabkan air naik dengan cepat,” katanya yang bekerja di sektor swasta.

Semalam, calon Pakatan Harapan Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan turun meninjau Kampung Melayu Subang, Seksyen U6 bagi memastikan kebajikan penduduk terjamin.

Dalam kejadian itu, sebanyak 120 rumah dinaiki air hampir 0.5 meter selepas hujan lebat sejak jam 3.30 petang namun, tiada mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara berikutan air setinggi surut beberapa jam kemudian.

Hari ini,  Ramanan menerusi sidang media memaklumkan pihaknya menyediakan dua bot sebagai persediaan menyelamat dan memindahkan penduduk sekiranya berlaku banjir.

Calon Pakatan Harapan Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan melihat keadaan rumah penduduk di Kampung (MPKK) Melayu Subang yang terjejas banjir kilat susulan hujan lebat pada 10 November 2022. Foto Facebook Ramanan Ramakrishnan DR

Pengarang :