Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Gombak Setia di Masjid Al-Shariff, Gombak pada 2 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Warga Gombak Setia puji inisiatif negeri tawar barangan berkualiti pada harga murah

OLEH SHAMZ JOHAN

GOMBAK, 2 NOV: Inisiatif Kerajaan Negeri meringankan beban penduduk yang berdepan kenaikan harga barang menerusi Jelajah Ehsan Rakyat dipuji.

Seorang suri rumah Hikmah Hariri, 36, berkata program berkenaan sangat membantu golongan sepertinya menampung perbelanjaan dapur.

Hikmah Hariri, 36

“Sangat bagus (program) untuk rakyat, terima kasih dan pujian kepada Kerajaan Negeri atas inisiatif seperti ini,” katanya.

Beliau antara ratusan penduduk yang hadir ke jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di Kampung Simpang Tiga di sini, hari ini.

Seorang lagi pengunjung Kamal Adli, 28, yang bekerja sebagai Chef berpuas hati dengan kualiti barangan dalam Jelajah Ehsan Rakyat sungguhpun dijual pada harga murah.

Kamal Adli, 28

“Ini kali kedua, amat puas hati dengan kualiti barang dijual. Kami sekeluarga selalu membeli keperluan harian seperti ayam dan telur, jadi di sini, harganya lebih murah,” katanya.

Pandangan sama turut dikongsi Saribanun, 52, yang sudah tiga kali hadir ke jualan berkenaan selain mengakui dapat berjimat.

“Saya dapat jimatkan perbelanjaan, sebelum ini beli barang keperluan lebih dari RM100. Tapi sekarang, tidak sampai pun RM100 saya boleh mendapat semua ini (barang).”

Saribanun Buyong, 52

“Saya sudah tiga kali datang ke (program) sini. Walaupun sesak tapi berbaloi. Saya amat berharap program ini diteruskan sampai bila-bila dan jika boleh, (tambah) ada produk sayur-sayuran pun bagus,” katanya lagi.

Terdahulu, lebih 300 warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia hadir bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga murah walaupun hujan renyai sejak pagi.

Program yang sudah 11 kali berlangsung di beberapa lokasi serata DUN berkenaan mendapat sambutan amat menggalakkan.

Program yang bermula 10 pagi hingga 1 tengah hari menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 setiap pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut ditawarkan ikan kembung pada harga RM6 setiap pek, minyak masak (RM25 sebotol) dan beras 5 kilogram (RM10).

Orang ramai tidak melepaskan peluang membeli barang keperluan asas yang dijual murah berbanding harga pasaran menerusi program Jelajah Ehsan Rakyat peringkat DUN Gombak Setia di Masjid Al-Shariff, Gombak pada 2 November 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :