Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli melawat dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir Kampung Asahan di PPS SK Bandar Baru di Kuala Selangor pada 17 November 2022. Foto Facebook Juwairiya Zulkifli
ADNSELANGOR

Waspada air pasang besar di Kuala Selangor Khamis, Jumaat

SHAH ALAM, 22 NOV: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir dibuka di Kuala Selangor iaitu di Dewan MPKS Bandar Baru hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati Juwairiya Zulkifli berkata setakat ini empat PPS sudah dibuka di daerah itu yang menempatkan 167 mangsa banjir membabitkan 51 keluarga.

“Sebuah lagi PPS dibuka iaitu di Dewan MPKS Bandar Baru menempatkan sembilan keluarga mangsa banjir dari Kampung Tanjung Siam selain PPS Sekolah Kebangsaan Bandar Baru yang dibuka 3 hari lalu melibatkan 30 keluarga dari Kampung Asahan.

“Hujan berterusan dan air pasang besar bertembung menyebabkan limpahan air Sungai Selangor ke kawasan perkampungan,” katanya di Twitter hari ini.

Menurutnya, tiga pam air telah ditempatkan di Kampung Asahan bagi mengepam air keluar dari kawasan rendah dan ‘air termenung’.

Sementara itu ketika dihubungi beliau berkata air sungai dijangka naik setinggi 5.3 meter pada Khamis dan Jumaat ini berikutan fenomena air pasang besar.

Sehubungan itu beliau meminta penduduk lebih berhati-hati selain bersedia untuk berpindah apabila diperlukan.

“Hujan diramal berterusan sehingga Sabtu ini dan air Sungai Selangor dijangka melimpah dan masuk ke kampung berikutan fenomena air pasang besar.

“Bomba, unit bencana sudah bersedia di lokasi dan saya minta ketua kampung memaklumkan penduduk sehingga Sabtu ini bersedia untuk pemindahan demi keselamatan mereka,” katanya yang turut meninjau lokasi hari ini.

Empat PPS yang dibuka ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram, SK Bandar Baru, balai raya Kampung Blok A Sawah Sempadan dan Dewan MPKS Bandar Baru.


Pengarang :