Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama penjawat awam pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana Putra, Putrajaya pada 29 November 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

1.3 juta penjawat awam dapat bantuan khas RM700, pesara RM350

SHAH ALAM, 20 DIS: Seramai 1.3 juta penjawat awam gred 56 dan ke bawah bakal menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) berjumlah RM700 tahun depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bantuan tersebut turut diberikan kepada sejuta pesara kerajaan yang bakal menerima RM350.

“Kerajaan Perpaduan amat berterima kasih atas kesungguhan penjawat awam dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Kerajaan memang silih berganti, tetapi penjawat awam kekal setia dan dedikasi demi negara,” katanya pada pembentangan Bajet Mini di Dewan Rakyat hari ini.

Jelasnya, kerajaan juga bersetuju memberi Kenaikan Gaji Tahunan Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada penjawat awam dari Gred 11 hingga 56 selain bantuan tambahan RM200 kepada pekebun kecil.

Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 yang membenarkan perbelanjaan RM107.71 bilion dikeluarkan untuk perkhidmatan 2023.

RUU itu bagi membolehkan kerajaan menggunakan sebahagian anggaran perbelanjaan bagi tempoh beberapa bulan sehingga Rang Undang-undang Perbekalan 2023 dibentang semula dan diluluskan kelak.

Anggaran perbelanjaan bawah RUU itu antaranya merangkumi bayaran gaji penjawat awam, utiliti, biasiswa, bantuan kebajikan serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan.

 


Pengarang :