Sebahagian kanak-kanak sindrom down yang mengambil bahagian dalam sukaneka sempena Jelajah Pemerkasaan Pengupayaan Kemahiran OKU Sindrom Down di Kuala Selangor Cabin Camp, Kuala Selangor pada 8 Oktober 2022. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

110,264 OKU berdaftar di Selangor, JKM seru tingkatkan pendaftaran

SHAH ALAM, 3 DIS: Seramai 110,264 orang kurang upaya (OKU) berdaftar di Selangor sehingga kini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Dr Zaitol Salleh berkata jumlah itu adalah 1.59 peratus daripada 6.9 juta penduduk Selangor.

“Kesedaran masyarakat masih perlu ditingkatkan terutama berkaitan pendaftaran OKU dan keistimewaan yang boleh dinikmati golongan ini sekiranya mereka berdaftar dengan JKM.

“Antara keistimewaan yang mereka boleh nikmati adalah pengecualian bayaran dokumen perjalanan antarabangsa, diskaun pengangkutan awam, pengecualian bayaran kesihatan kerajaan dan bantuan JKM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari OKU peringkat Selangor yang dirasmikan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Dr Zaitol berkata pihaknya menyeru masyarakat yang mempunyai ahli keluarga OKU untuk membantu daftarkan individu terbabit dengan segera bagi tujuan menerima pelbagai manfaat.

Pendaftaran boleh dibuat secara dalam talian menerusi https://oku.jkm.gov.my/myDaftarOku.


Pengarang :