Beberapa kawasan dinaiki air ketika tinjauan udara di sekitar Besut, Hulu Terengganu dan Setiu pada 20 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

120 lokasi di lapan negeri terjejas bencana setakat petang tadi

KUALA LUMPUR, 21 DIS: Jabatan Kerja Raya (JKR) melaporkan terdapat 120 lokasi kejadian bencana setakat 2 petang hari ini melibatkan 94 lokasi terkesan banjir, 16 lokasi cerun runtuh, dua lokasi jalan runtuh, lima jalan mendap dan tiga lokasi kejadian jambatan rosak/runtuh.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataan memaklumkan kejadian itu berlaku di empat lokasi masing-masing di Kedah, Negeri Sembilan dan Pahang, satu lokasi masing-masing di Perak dan Selangor, 38 lokasi (Kelantan), 65 lokasi (Terengganu), serta tiga lokasi di Johor melibatkan 48 jalan Persekutuan dan 72 jalan negeri.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di lima negeri iaitu Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor meningkat sedikit kepada 72,510 di 418 pusat pemindahan sementara (PPS) petang ini berbanding 72,297 mangsa di 446 PPS pagi tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan terdapat 10 sungai mempunyai bacaan air di tahap bahaya setakat petang tadi iaitu melibatkan Sungai (Sg) Keratong, Jalan Kota Bahagia, Rompin di Pahang; Sg Lebir di Kampung Tualang di Kuala Krai; Rantau Panjang di Pasir Mas; Sg Golok di Kampung Jambu (Kuala Jambu) Tumpat dan Sg Golok di Rantau Panjang, di Kelantan.

Di Terengganu pula melibatkan Sg Dungun di Jambatan Jerangau, Dungun; Sg Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu; Sg Kemaman di Rumah Pam Paya Paman, Kemaman; Sg Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus; serta Sg Marang di Jambatan Pengkalan Berangan.

JPS melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir (PRABN) telah mengemas kini notis kesiapsiagaan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang berisiko untuk berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlaku banjir kilat bagi tempoh 24 jam.

“Lokasi hotspot yang disenaraikan melibatkan 12 daerah daripada tiga negeri iaitu Pahang (Bentong, Bera, Kuantan, Pekan dan Rompin); Perak (Batang Padang, Hilir Perak dan Muallim); serta Selangor (Hulu Selangor, Kuala Selangor, Petaling dan Sepang),” menurut kenyataan itu.

NADMA memaklumkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) telah mengemas kini amaran hujan berterusan peringkat buruk/waspada di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor yang berkuat kuasa sehingga esok, Sarawak (23-24 Dis) dan Sabah (23-26 Dis), serta amaran angin kencang dan laut bergelora di perairan Laut China Selatan sehingga Sabtu ini.

Selain itu, MetMalaysia juga telah mengeluarkan Ramalan Cuaca Signifikan berdasarkan analisis model cuaca, luruan monsun yang sedang berlaku dijangka sehingga Ahad (25 Dis) dan berpotensi membawa angin kencang, ombak besar serta hujan berterusan di negeri-negeri timur Semenanjung, Sabah dan barat Sarawak serta di perairan Laut China Selatan.

Mengenai penyelarasan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Pusat, NADMA memaklumkan semua PKOB di negeri terjejas banjir diarahkan untuk mengenal pasti keperluan PPS alternatif untuk diaktifkan sekiranya yang sedia ada hampir memenuhi kapasiti.

NADMA memaklumkan pengkalan hadapan juga perlu segera membuat penambahan stok untuk memastikan ketersediaannya apabila PPS baharu diaktifkan. – BERNAMA


Pengarang :