Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA) menjalankan operasi mencari mangsa yang terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada 16 Disember 2022. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara
AGENDANASIONAL

16 maut tragedi tanah runtuh Batang Kali setakat 1 tengah hari

SHAH ALAM, 16 DIS: Seramai 16 mangsa disahkan maut dalam tragedi tanah runtuh berhampiran tapak perkhemahan di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali, setakat 1 tengah hari.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga memaklumkan seramai 77 mangsa berjaya dikesan dan diselamatkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

“Setakat jam 1 tengah hari ini, 77 mangsa berjaya dikesan dan diselamatkan oleh pasukan SAR.

“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengesahkan 16 mangsa terkorban akibat tragedi tanah runtuh di Batang Kali,” katanya menerusi Twitter.

Terdahulu, Amirudin dalam kenyataan mengucap takziah kepada semua keluarga mangsa terkorban menjelaskan operasi SAR melibatkan 446 anggota bomba selain dibantu pelbagai agensi lain.

Katanya, agensi kerajaan dikerah ke lokasi kejadian pagi tadi bagi menyelaras bantuan dari Kerajaan Selangor melalui Unit Pengurusan Bencana Negeri supaya mangsa belum dikesan dapat dicari segera.

Beliau juga akan meninjau lokasi kejadian malam ini bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Pengarang :