Mangsa tanah runtuh yang berjaya diselamatkan tiba di Balai Polis Hulu Yam Bharu selepas dibawa keluar dari lokasi kejadian di Father’s Organic Farm, Batang Kali pada 16 Disember 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

1,778 anggota Polis Selangor terlibat operasi SAR tanah runtuh Batang Kali

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 29 DIS: Seramai 1,778 anggota Polis Selangor dari pelbagai jabatan terlibat sepanjang sembilan hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Batang Kali, baru-baru ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata kesemua mereka dikerah ke lokasi kejadian bagi memastikan operasi sepanjang sembilan hari itu berjalan lancar.

“Keanggotaan ini bukan sahaja melibatkan penugasan SAR, tetapi juga membabitkan pasukan siasatan serta pegawai perhubungan yang berurusan dengan ahli keluarga mangsa dan sebagainya,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Arjunaidi berkata pasukan terlibat termasuklah Pasukan Gerakan Udara (PGU), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Operasi turut membabitkan Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

Pasukan penyelamat giat mencari mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm, Gohtong Jaya, Batang Kali pada 17 Disember 2022. Foto Facebook Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Tambahnya, polis sudah merakam keterangan pelbagai pihak termasuk pengendali tapak, pekerja, anggota pasukan penyelamat dan pihak hospital.

Malah keterangan daripada anggota polis, keluarga mangsa dan mangsa yang terselamat dalam tragedi tanah runtuh turut diambil bagi tujuan siasatan.

Seramai 92 mangsa terlibat dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 terkorban, selepas berlaku runtuhan tanah sehingga menimbus kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada 16 Disember lalu.

Mangsa yang terkorban terdiri daripada 18 individu dewasa dan 13 kanak-kanak termasuk seorang bayi berumur setahun.

Selain Polis operasi turut membabitkan anggota penyelamat daripada pelbagai agensi utama kerajaan iaitu Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).


Pengarang :