EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail (tengah) ditemani Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid bergambar bersama semua pemenang anugerah dalam majlis apresiasi badan pengurusan bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) 2022 di Dewan Banquet MBSA Shah Alam pada 22 Disember 2022. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

18 JMB, MC terima anugerah MBSA, bawa pulang wang tunai RM21,000

Oleh AZIAN AZIZ

SHAH ALAM, 22 Dis: Sebanyak 18 Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) menerima anugerah melibatkan wang tunai RM21,000 dalam Majlis Apresiasi JMB dan MC di Dewan Bankuet Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) petang ini.

Empat anugerah utama diberikan kepada JMB UOA Business Park bagi kategori komersial, MC De Palma (kategori kos tinggi), MC Pangsapuri Tasik Kota Kemuning, Seksyen 31 (kategori kos sederhana) dan JMB Pangsapuri Sentosa, Seksyen U13, Setia Alam (kategori kos rendah).

Kesemua pemenang utama menerima hadiah wang tunai RM2,000, plak dan sijil yang disampaikan oleh EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail.

Barisan pemenang utama badan pengurusan bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) 2022 ketika majlis apresiasi di Dewan Banquet MBSA Shah Alam pada 22 Disember 2022.Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid berkata majlis apresiasi kedua selepas kali pertama diadakan pada Oktober 2020 bagi menghargai usaha dan komitmen setiap JMB dan MC bawah pentadbiran MBSA.

Menurut beliau, majlis ini juga bertujuan menyuntik semangat JMB dan MC supaya bergiat aktif, komited dan bertanggungjawab dalam memastikan kawasan pemajuan berstrata melaksanakan undang-undang serta peraturan ditetapkan oleh MBSA dan Kerajaan Negeri.

“Anugerah ini bertujuan untuk menilai kecekapan serta kredebiliti pengurusan JMB dan MC pada tahun 2022. Sebanyak 74 kawasan pemajuan berstrata telah dipilih daripada 723 skim yang ada.

“Penilaian dibuat berdasarkan lima komponen iaitu pematuhan penubuhan dan pengurusan badan, kewangan, penyenggaraan, kesejahteraan penduduk serta pengurusan keselamatan dan risiko,’’ katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.

Dr Nor Fuad memberitahu, MBSA juga telah mengadakan seminar pengurusan strata, kursus dan bengkel setiap tahun bagi membantu JMB dan MC memantapkan lagi perkhidmatan mereka.

“Tugas serta tanggungjawab JMB dan MC bukan mudah kerana mereka perlu memastikan setiap pemilik rumah menikmati kemudahan serta infra yang ada secara aman, menghadapi masalah yang ditimbulkan pemilik kediaman melibatkan kutipan bayaran penyelenggaraan dan sebagainya selain pelbagai masalah sosial.

“Sehubungan itu saya berharap pihak JMB dan MC dapat terus membantu serta bekerjasama dengan para penduduk dalam mewujudkan suasana harmoni dan semangat kekitaan demi mewujudkan kehidupan aman damai dan sejahtera,’’ katanya.


Pengarang :