Petugas Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyusun yang dijual pada program Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Harmoni Seksyen 19, Shah Alam pada 18 Disember 2022. Foto/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

200 papan telur habis terjual kurang sejam di jualan murah PKPS

SHAH ALAM, 18 DIS: Dalam tempoh kurang sejam, 200 papan telur habis terjual pada program Jualan Ehsan Rakyat (JER) di Dewan Harmoni, Seksyen 19 di sini hari ini.

Penyelia Jualan Mohd Farid Mustapa berkata telur gred B mendapat sambutan luar biasa terutama penduduk setempat berikutan dijual dengan harga RM10 sepapan, jauh lebih murah berbanding pasaran luar.

Beliau menjelaskan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) terpaksa menambah bekalan 100 papan telur bagi memenuhi permintaan orang ramai yang mula beratur seawal jam 8 pagi.

“Ke mana sahaja kita buat jualan murah, memang orang akan ‘kejar’ telur dulu. Kita bernasib baik kerana tempat penyimpanan barang dekat dengan tempat ini, jadi mudah untuk kami tambah stok.

“PKPS akan berusaha memberikan yang terbaik kepada rakyat walaupun kita tahu sekarang ada isu (kekurangan) telur dari ladang,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Selain telur, beliau berkata PKPS turut membawa barangan asas lain seperti ayam standard (700 ekor), ikan kembung atau selayang (200 pek), daging pejal (300 pek), beras dan minyak masak.

“Barangan kering keluaran jenama Ehsan PKPS turut dipasarkan seperti tepung gandum, gula, sos cili, sos tomato, kicap, sardin tin, biskut, beras pulut, mi kering dan cili giling,” katanya.

Penduduk Seksyen 19 Shah Alam yang membeli keperluan rumah ketika program Jelajah Ehsan Rakyat di Dewan Harmoni Seksyen 19, Shah Alam pada 18 Disember 2022. Foto/NUR ADIBAH AHMAD IZAM

Bermula 9 pagi hingga 1 tengah hari, JER menawarkan ayam standard pada harga RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan).

Turut ditawarkan ikan kembung pada harga RM6 per pek, minyak masak (RM25 sebotol) dan beras lima kilogram (RM10).

Program melibatkan 56 DUN bermula September lepas sepatutnya berakhir 6 Disember lalu, namun Dato’ Menteri Besar mengumumkan inisiatif itu disambung hingga Mac tahun depan susulan sambutan menggalakkan.

Orang ramai boleh melayari laman sosial PKPS atau pautan https://linktr.ee/myPKPSlinktr.ee/myPKPS untuk kemas kini lokasi jualan dari semasa ke semasa.


Pengarang :