Sebahagian peserta yang menyertai Kejohanan Piala Kampung 2022 (Hulu Langat) di Arena Owl Trafford, Bangi. pada 17 Disember 2022. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

200 pasukan berentap dalam Kejohanan Piala Budak Kampung

KAJANG, 17 DIS: Sebanyak 200 pasukan berentap dalam Kejohanan Piala Budak Kampung 2022 peringkat daerah Hulu Langat di Arena Owl Trafford, Bangi di sini bagi merebut hadiah keseluruhan RM14,850.

Menurut EXCO sukan, tiga kategori dipertandingkan dalam siri ketiga penganjuran mulai hari ini hingga esok iaitu bola sepak bawah 12, 14 dan 17 tahun manakala sepak takraw bawah 15 dan 18 tahun serta bola jaring terbuka tiga lawan tiga.

“Kejohanan ini disertai 100 pasukan bola sepak, sepak takraw (60) dan bola jaring (40) dengan majoriti peserta dari daerah ini serta terbuka kepada mereka yang bermain di luar bandar mahupun bersendirian dan berkumpulan.

“Kita menamakan kejohanan ini Piala Budak Kampung supaya orang tidak memberikan stigma jika mahu bertanding sukan mesti dalam kalangan orang profesional,” kata Mohd Khairuddin Othman selepas merasmikan kejohanan itu.

Dalam pada itu, beliau berkata kejohanan terbabit membuka ruang kepada individu yang tidak berpeluang menyertai kejohanan liga besar sekali gus mengangkat bakat ke peringkat lebih tinggi.

Tambahnya inisiatif itu selari dengan hasrat Kerajaan Selangor untuk memastikan belia khususnya dari luar bandar tidak ketinggalan dalam arus pembangunan sukan.

“Justeru kita berharap program ini memberi peluang kepada belia untuk meningkatkan prestasi sebagai persediaan ke kejohanan besar.

“Pada masa sama menjadi medium kepada Kerajaan Negeri untuk terus mendekati komuniti akar umbi selain menggalakkan rakyat Selangor yang aktif dalam aktiviti sukan,” katanya lagi.


Pengarang :