Peserta bergambar selepas Majlis Graduasi Program Usahawan Mahasiswa (PUM) di Dewan Aster Bangunan Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 5 Disember 2022. Foto Facebook PKNS
AGENDANASIONAL

23 usahawan mahasiswa catat jualan RM203,000 dalam tempoh enam bulan

SHAH ALAM, 6 DIS: Dalam tempoh enam bulan, 23 usahawan mahasiswa yang juga peserta Program Usahawan Mahasiswa (PUM) 2022 berjaya merekodkan nilai jualan RM203,318.80.

Program anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang bermula dari April hingga September lalu disertai mahasiswa pelbagai institut pengajian tinggi (IPT).

Pengurus besar kanan keusahawanan PKNS berkata peserta diberi bimbingan kaedah pembelajaran secara fizikal dan dalam talian merangkumi modul berkaitan jualan dan pemasaran, pengurusan kewangan, latihan berkumpulan, simulasi serta mentoring.

Azilah Arshad berkata PKNS komited menyediakan platform bagi membantu melahirkan lebih ramai generasi usahawan muda.

“Atas dasar itu, PKNS meneruskan legasi inisiatif seumpama ini bagi memberi pendedahan tentang suasana perniagaan sebenar,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata program itu memberi peluang kepada mahasiswa melalui pengalaman berinteraksi dan berkomunikasi dengan pembeli di samping menggilap bakat usahawan.

 

Pengurus Besar Kanan Keusahawanan PKNS Azilah Arshad berucap sempena Majlis Graduasi Program Usahawan Mahasiswa (PUM) di Dewan Aster Bangunan Ibu Pejabat PKNS, Shah Alam pada 5 Disember 2022. Foto Facebook PKNS

Katanya inisiatif PUM yang diperkenalkan sejak 2003 itu diharap membantu usahawan muda mengembangkan empayar sekali gus merancak dan mengukuhkan ekosistem ekonomi negeri ini.

“Bila mana kitaran jual dan beli berlangsung secara aktif, ia mengukuhkan kedudukan ekonomi negeri.

“Kami berharap dengan penganjuran program ini, lebih ramai golongan muda cakna mengenai pentingnya memulakan perniagaan dengan ilmu dan bimbingan,” katanya.


Pengarang :