Salah seorang calon yang menghadiri temu duga Program Perantisan Aeroangkasa Selangor. Foto Facebook MBI
AGENSISELANGOR

29 calon ditemu duga jalani program perantis aeroangkasa Selangor

SHAH ALAM, 8 DIS: Seramai 29 calon menghadiri temu duga program penyelenggaraan enjin kendalian Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI semalam.

MBI dalam kenyataan memaklumkan mereka antara 36 calon yang layak menyertai sesi temu duga melalui Program Perantisan Aeroangkasa Selangor.

“Pagi ini (semalam) berlangsungnya sesi temu duga bagi penempatan perantis kumpulan pertama Program Penyelenggaraan Enjin di bawah Program Perantisan Aeroangkasa Selangor bersama GE Engine Services Sdn Bhd (GE Malaysia).

“Sejumlah 118 pemohonan diterima dan 36 orang disenarai pendek melalui proses tapisan,” katanya di Facebook.

Peserta dinilai wakil GE Malaysia Setiausaha Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kerajaan Selangor Siti Azrah Mohd Ibrahim manakala MBI diwakili Ketua Sumber Manusia dan Pentadbiran Ahmad Rosly Ahiar.

MBI menambah program perantis aeroangkasa merupakan inisiatif Kerajaan Selangor bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam industri terbabit.

Dilancar 19 September lalu, program itu bertujuan mengasah dan memperkasa belia untuk menyertai industri aeroangkasa sekali gus membina rantaian bakat atau tenaga kerja aeroangkasa yang mampan untuk negeri.

Sebahagian besar sesi latihan diadakan di fasiliti latihan GE Malaysia manakala selebihnya diadakan di fasiliti GE yang lain seluruh dunia.


Pengarang :