Pasukan mencari dan menyelamat giat mengeluarkan mangsa terperangkap dalam tanah runtuh di Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya pada 16 Disember 2022. Foto Facebook Agensi Pengurusan Bencana Negara
AGENDANASIONAL

29 kanak-kanak antara 94 mangsa tanah runtuh Batang Kali

BATANG KALI, 20 DIS: Seramai 29 daripada keseluruhan 94 mangsa yang terlibat dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya dekat sini, adalah kanak-kanak.

Mengikut data dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), jumlah itu meliputi 17 kanak-kanak yang berada di Sektor A (Hillview) ketika kejadian, tiga di Sektor B (Farmview) dan sembilan lagi di Sektor C (Riverside).

Bagaimanapun daripada jumlah itu, tidak dapat dipastikan jumlah sebenar kanak-kanak yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Data itu menunjukkan ia melibatkan 65 orang dewasa meliputi 25 orang yang berada di Sektor A, sembilan (Sektor B), 17 (Sektor C) dan 14 pekerja tapak perkhemahan itu yang berada di Sektor D (Green House).

Berdasarkan data itu juga setakat ini, 21 mayat telah ditemukan di Sektor A dan tiga lagi di Sektor C dengan dua daripadanya adalah wanita dan seorang kanak-kanak.

Tragedi tanah runtuh pada 2.42 pagi Jumaat lepas di tapak perkhemahan itu setakat ini menyaksikan 61 selamat, 24 nyawa terkorban dan sembilan lagi mangsa masih hilang.

Operasi mencari dan menyelamatkan mangsa yang hilang diteruskan bermula 8 pagi tadi, dengan kekuatan seramai 115 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi selain dibantu anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9).

-BERNAMA


Pengarang :